#HPU914: Lebih 10,000 Bakal Banjiri PWTC, Majlis Bersejarah Tandatangan Piagam Kerjasama UMNO-PAS

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Lebih 10,000 pengunjung bakal membanjiri sekitar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 dan 14 September depan sempena Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS.

Pada sidang media bersama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan di sini, tengahari tadi memaklumkan mengenai program terbabit dengan pelbagai pengisian telah diatur bermula pada 13 September lagi iaitu Jumaat.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata pengisian program bermula dengan zikir munajat oleh Wanita UMNO dan Muslimat PAS selain program bersama Puteri dan Ameera PAS pada sebelah pagi.

“Selepas solat Jumaat akan diadakan solat hajat dan kemudiannya disusuli ‘Wacana Intelektual Penyatuan Ummah’ anjuran Penerangan UMNO selain Himpunan Anak Muda yang dikendalikan bersama antara Pemuda UMNO dan Pemuda PAS di Dataran PWTC.

“Pada malamnya pula, akan diadakan Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka PWTC yang menampilkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu Datuk Takiyudin Hasan pula mengumumkan pada keesokan harinya iaitu Sabtu 14 September adalah hari kemuncak yang mana akan ditandatangani piagam kerjasama UMNO dan PAS oleh kedua-dua presiden parti berkenaan.

“Sebelum itu kedua-dua presiden parti akan berucap termasuk Setiausaha Agung parti yang akan membuka ucapan alu-aluan dan seterusnya ke acara kemuncak iaitu tandatangan piagam serta pemasyhuran piagam berkenaan.

“Pada hari itu juga kita akan perkenalkan lagu yang hari ini sedang dikemaskini daripada sudut lirik dan sebagainya lagi serta perkara-perkara lain yang berkaitan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.