#HPU914: Piagam UMNO-PAS Bakal Jadi Bukti Kerjasama Bukan Hanya Retorik

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Afriz Mohd Noor berkata tarikh 14 Sept depan bakal jadi bukti bahawa kerjasama yang laksanakan oleh UMNO dan PAS bukanlah hanya retorik semata-mata.

Katanya, pelaksanaan pemetraian tersebut adalah keutamaan dalam melihat kembali perpaduan Melayu dan Islam diperkukuh apabila hari ini ia dilihat semakin longgar dan tidak ada pembelaan dari kerajaan.

“Piagam kerjasama antara UMNO dan PAS adalah satu tindakan yang amat tepat bagi menyelesaikan permasalahan mahupun bebanan yang dialami oleh rakyat kesan daripada dasar-dasar pincang kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sedang berlaku di negara kita,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

Jelasnya, hari ini rakyat dilihat semakin hilang percaya dengan kerajaan PH apabila tindakan bersifat ‘double standard’ seperti mencampuri urusan berkaitan orang Islam oleh bukan Islam, menggadaikan aset negara tanpa alasan yang kukuh, janji-janji hipokrit yang gagal ditunaikan dan sebagainya.

“Walaupun ada suara-suara sumbang cuba untuk menggagalkan kerjasama UMNO-PAS, rakyat perlu melihat dalam konteks yang lebih besar terutamanya asas kedudukan Melayu dan Islam yang jelas berada serta dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia perlu diselamatkan supaya ketidakselesaan rakyat kesan daripada dasar kerajaan PH hari ini dapat dipulihkan seterusnya mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebagaimana sebelum ini.

“Yakin dan percayalah bahawa kita mahukan sebuah kerajaan yang mampu memayungi rakyatnya bukan kerajaan yang menjadikan rakyat sebagai mangsa permainan politik atau yang hanya mengejar kedudukan, kuasa dan dendam semata-mata.”

Ujar Afriz lagi, tentunya tarikh 14 Sept ditunggu-tunggu kerana akan lahirnya kerjasama yang menjadi harapan untuk mengembalikan maruah Melayu dan Islam di samping memelihara kepentingan kaum-kaum lain juga.

Dilaporkan, UMNO-PAS telah bersetuju untuk mengadakan satu majlis menandatangani Piagam pada Sabtu, 14 September 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang akan ditandatangani sendiri oleh presiden kedua-dua parti. Majlis bersejarah ini akan dihadiri oleh semua pemimpin UMNO dan PAS dari seluruh negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.