Tingkatkan Solidariti Untuk UMNO Melangkah Ke Depan

 


KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman percaya tidak ada formula lain selain meningkatkan solidariti di kalangan ahli parti jika ingin melihat UMNO terus ke depan dan seterusnya mendapat kepercayaan rakyat.

Menurut beliau hari ini suasana berkenaan dapat dilihat apabila rakyat telah mula kembali menyokong UMNO setelah apa yang diwar-warkan oleh kerajaan tidak sepertimana yang dijanjikan.

“Malah di Jasin sendiri. Rakyat tertunggu-tunggu… dan hari ini rakyat telah mempunyai kesedaran bahawa kepimpinan hari ini cakap sahaja tidak serupa bikin. Memang rakyat telah kembali kepada kita (UMNO) dan sebagai wakil rakyat pembangkang kita dapat lihat ramai yang datang mohon bantuan dan sebagainya lagi.

“Dan daripada situ kita dapat lihat dan dijadikan kayu ukur bahawa kerajaan hari ini gagal untuk membela nasib mereka,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menambah akar umbi yang merupakan tunjang kepada kekuatan parti insya-Allah akan sentiasa bergerak ke depan dan melaksanakan tugas serta tanggungajwab masing-masing.

Apa yang penting tambah beliau lagi ahli parti khususnya di Jasin sentiasa bersabar dalam melaksanakan tanggungjawab kerana sebagai pembangkang sudah pasti ada kekangan dan sebagainya lagi.

“Cabaran dan kekangan itu ada termasuklah di Jasin untuk berkhidmat. Bagi pihak kita memang ada sedikit kepayahan… dulunya kita dah terbiasa dengan peruntukan dan sebagainya tapi hari ini menjadi sebaliknya.

“Namun kita tetap berusaha bagaimana untuk mencari kaedah yang terbaik untuk membantu akar umbi,” ujarnya.

Pada akhir perbualan beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai melontarkan pantun kepada kerajaan hari ini.

Kalau belayar perahu senget,
Memang susah nak jaga kemudi;
Apa diharap guruh dilangit,
Kilat memancar hujan sentiasa tidak jadi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.