KDNK Sabah: Jawapan Menteri PH Tidak Masuk Akal… Masih Terus Salahkan BN


KUALA LUMPUR 19 Ogos – Jawapan yang diberikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Dorrel Leiking amat mengelirukan mengenai penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari jawapan yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Husin.

Kerana itulah beliau merasa kecewa apabila Dorrel telah mengatakan kemerosoton nilai KDNK negeri Sabah adalah warisan dari kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa bersandarkan sebarang fakta dan bukti.

“Jika kita melihat dan mendengar bajet 2019 yang dibentangkan oleh Shafie Apdal, beliau dengan jelas menyatakan bahawa pendapatan negeri Sabah pada 2017 adalah sangat baik sekali.

“Mengikut fakta-fakta yang dikeluarkan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah ternyata kerajaan BN telah mewariskan sebuah kerajaan yang kukuh dari segi pendapatan dan kewangan, bagaimana pula Dorell boleh membuat tuduhan bahawa penurunan KDNK ini adalah kerana warisan dari kerajaan BN,” katanya kepada UMNO Online, pada hari ini.

Dilaporkan, pada 2017 Sabah telah mencatatkan KDNK sebanyak 8.2 peratus iaitu lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya dan ini telah meletakkan Sabah di tempat kelima antara negeri-negeri di Malaysia yang tertinggi KDNK.

Sehubungan itu katanya, pendapatan perkapita di Sabah telah bertambah dari tahun ke tahun semenjak BN memerintah.

“Menteri PH kini gagal tapi tidak mengakuinya dan hanya tahu menyalahkan pihak lain, lebih bermaruah jika mengakuinya,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.