Jangan Guna Langsung Tulisan Jawi, Produk Gunakan Tamil Dan Mandarin

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menyindir Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Caves supaya produk-produk makanan keluaran syarikat India dan Cina yang mempunyai tulisan Jawi ditukarkan ke bahasa Tamil dan Mandarin.

Sindiran itu dibuat susulan tindakan PIBG sekolah itu yang mula memasang gegantung di hadapan pintu masuk sekolah itu bagi membantah pembelajaran tulisan Jawi dan seni khat di sekolah tersebut.

“PIBG SJKT Batu Caves tidak menyokong tulisan Jawi. Mohon mereka juga minta produk-produk makanan syarikat India dan Cina di Malaysia, tukarkan tulisan Jawi dan logo ‘Halal’ ke tulisan Tamil dan Mandarin.

“Kita tidak berhak paksa mereka guna Jawi. Mohon mencadang kepada bahagian Halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Jadi tak payahlah pakai Jawi terus. Mereka kena menggalakkan warga India dan Cina menggunakan bahasa masing-masing pada produk makanan.

“Apabila nak ‘jual’ pada Melayu, songkok dan baju kurung pun sanggup pakai. Jawi, ayat Quran semua pakai,” tulisnya dalam laman Twitter rasminya di sini hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu membuat keputusan mengekalkan keputusannya sebelum ini supaya pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah tahun empat di SJK mulai 2020 diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid di SJK tersebut.

Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan akan teruskan seperti biasa dan Jemaah Menteri turut mengekalkan keputusan untuk pengenalan tulisan Jawi itu dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.