Cabar Yew Yin Lepas Kewarganegaraan

TEMERLOH 19 Ogos – Kesatuan Veteran Komando Malaysia (KVKM) negeri mencabar ahli perniagaan, Koon Yew Yin melepaskan kewarganegaraan dan berhijrah ke negara lain ekoran kenyataannya yang menghina anggota tentera.

Yang Dipertuanya, Mohd, Najib Harun berkata, walaupun sudah meminta maaf, Yew Yin membuat kesilapan besar memperlekehkan angkatan tentera yang menjadi barisan depan keamanan negara.

Tegasnya, angkatan tentera bertugas siang dan malam mengawasi setiap inci tanah air daripada dicerobohi oleh musuh.

“Apa akan jadi jika angkatan tentera dikerah bekerja di ladang sawit, sudah tentu pertahanan negara mudah diserang musuh.

“Dengan adanya angkatan tentera dan pihak berkuasa polis, rakyat dapat menjalani kehidupan dengan aman tenteram termasuk seperti Koon Yew Yin mengumpul kekayaan menjadi jutawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai 14 pengerusi KVKM daerah membuat laporan polis terhadap Yew Yin di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Sementara itu, Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PKVTTB) negeri membuat laporan polis di IPD Maran membantah keras kenyataan Yew Yin bahawa tentera hanya makan tidur sahaja yang menghabiskan duit pembayar cukai.

Yang Dipertuanya, Mohd. Sani Ishak berkata, pertubuhan itu menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Yew Yin atas kenyataannya itu.

“Pasukan keselamatan tentera Malaysia telah berkorban diri dan mengabaikan keselesaan bersama keluarga mereka bagi memastikan tanah air bebas daripada ancaman musuh.

“Kenyataan maaf Yew Yin tidak memberi makna kerana dengan mudahnya menarik balik kenyataan setelah tentera dan tentera rasa terhina,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.