1.56 Juta Hektar Hutan Simpan Kekal Di Pahang – Wan Rosdy

KUANTAN, 19 Ogos – Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Pahang setakat Jun lalu, ialah seluas 1.56 juta hektar atau 43 peratus daripada keluasan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan Pahang masih berupaya mengekalkan hutan pada kadar paratusan tinggi walaupun giat melakukan aktiviti pembangunan ekonomi, yang dilakukan secara berhati-hati dan holistik.

Bagaimanapun, beliau mengakui kerajaan negeri berdepan dengan masalah pencerobohan HSK secara haram, yang mana rekod setakat ini, menunjukkan kawasan terlibat ialah seluas 2,530 hektar.

“Antara kawasan yang terlibat ialah di Cameron Highlands, Raub dan Bukit Ibam di Rompin. Untuk mengatasi masalah ini, Jabatan Perhutanan Pahang sentiasa melakukan tindakan sewajarnya selain pemantauan secara berkala.

“Bagi tahun ini, jabatan itu telah melaksanakan tiga operasi dengan kerjasama agensi seperti polis dan imigresen untuk mengekang masalah ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, kepada soalan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) yang ingin tahu keluasan HSK di negeri ini.

Isu pencerobohan HSK juga disentuh oleh Sim Chong Siang (PH-Teruntum) yang mendakwa hampir 50 hektar HSK di Sungai Lembing di sini, diteroka secara haram yang menurutnya ‘dapat dilihat dengan jelas semasa menaiki kapal terbang’.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (PAS-Beserah), Wan Rosdy berkata tindakan penguatkuasaan Jabatan Perhutanan berasaskan kepada aduan daripada orang awam atau menerusi rondaan yang dilakukan jabatan.

“Tindakan ini juga mengambil kira pelbagai faktor. Bukan hari ini kita dapat aduan, esok sudah boleh buat operasi. Ini melibatkan aspek seperti tenaga dan keselamatan kerana yang menceroboh hutan ini bukan calang-calang orang, malah ada yang mempunyai mafia sehingga mengugut pegawai.

“Kerajaan negeri juga prihatin. Jika teroka untuk sara hidup, maka penguatkuasaannya agak lewat sedikit. Tapi jika penerokaan dibuat dengan skala besar, tindakan akan diambil selepas kita buat siasatan rapi,” katanya.

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri berjaya menjana kutipan sebanyak RM309,615 menerusi fi kemasukan ke Mossy Forest di Cameron Highlands sejak mula diperkenalkan 1 Mac lalu sehingga 30 Jun lalu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.