UMNO Sabah Kenal Pasti Tiga Calon PRK Parlimen Kimanis

KUALA LUMPUR 18 Ogos – UMNO Sabah akan mengenalpasti sekurang-kurangnya tiga calon yang berpotensi untuk dipertaruhkan sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis diadakan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, bagaimanapun perkara tersebut akan diumumkan dalam tempoh seminggu daripada tarikh PRK akan diadakan.

“Kami akan memuktamadkan nama itu selepas menerima maklum balas daripada rakyat. Terdapat dua hingga tiga nama yang dikenalpasti dan semuanya merupakan anak tempatan Kimanis.

“Walaupun kami tidak pasti jika akan ada PRK, namun UMNO sentiasa bersedia untuk berdepan dengan cabaran ini,” katanya seperti dipetik laporan FreeMalaysiaToday di sini hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Lee Heng Cheong berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, keputusan untuk mempertahankan kerusi berkenaan diputuskan dalam mesyuarat biro politik UMNO Sabah yang diadakan malam tadi.

Katanya, pihaknya juga telah mengarahkan semua sayap parti iaitu pergerakan pemuda, wanita dan puteri UMNO bahagian itu untuk mengaktifkan jentera pilihan raya di 19 pusat pengundian dalam kawasan terbabit.

“Kami juga telah mengaktifkan 25 bahagian UMNO di seluruh negeri ini untuk mula bekerja sekiranya berlaku PRK dan kami akan keluar untuk memenanginya, “ katanya.

Dalam PRU14, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis iaitu 156 undi, memperoleh 11,942 undi berbanding 11,786 yang diperoleh calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang.

Karim mencabar keputusan tersebut mendakwa terdapat unsur-unsur manipulasi oleh kem Barisan Nasional (BN) dan kertas undi dikira sekurang-kurangnya empat kali. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.