Rapatkan Ukhuwah Bina Benteng, Anti-Islam Dan Islamofobia Takkan Berdiam Diri – Annuar

BALING, 18 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyeru semua pendukung parti terus rapatkan lagi ukhuwah antara UMNO dan PAS.

Katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Baling semalam, agenda penyatuan ummah akan mendapat tentangan yang hebat dari pihak-pihak yang resah dan gusar akan kekuatan umat Islam.

“Rapatkanlah ukhuwah antara UMNO dan PAS. Kita akan diuji, dicabar dengan berat. Musuh kita bukan sahaja islamofobia dalam negara, kita akan ditekan kiri, kanan, atas dan bawah sepertimana yang tertulis dalam Al-Quran mereka yang anti-Islam tidak akan berdiam diri sehingga mereka menguasai kita.

“Teruskan kerja kita dengan cara baik, seru dengan cara yang baik mudah-mudahan hati yang keras, mata yang tak nampak, telinga yang tak mahu dengar Allah lah tempat kita bergantung. Kita tahu Nabi juga menghadapi perkara yang sama.

“Na’uzubillah kita tidak termasuk dalam golongan hati keras, mata buta telinga pekak kerana kita berpandukan kepada Al-Quran, kita berpandukan kepada Al-Sunnah, kita berpandukan kepada ijmak dan qiyas,” jelasnya.

Turut sama hadir ke mesyuarat tersebut, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Baling serta barisan kepimpinannya, rakan-rakan kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan juga PAS kawasan.

Annuar turut mengulas mengenai piagam UMNO-PAS yang akan ditandatangani kedua-dua parti pada 14 September nanti.

“Insya-Allah antara dokumen yang bakal ditulis dalam dokumen ta’awun UMNO dan PAS selain kalimah Wallahi Wabillahi Watallahi yang memulakan kalimah ta’awaun.

“Ia juga berakhir dengan kalimah kiranya ada khilaf, pertikaian dan kekusutan antara kedua parti, rujukan kita kepada Al-Quran, Al-Sunnah, ijmak dan qiyas yakni ta’awun UMNO PAS berpaksikan Islam, kerana Islam, dari Islam untuk menegakkan Islam yang menjadi tanggungjawab kita semua,” katanya lagi.

Annuar turut mengungkapkan kata-kata sarjana Islam Ibnu Khaldun bahawa agama tidak dapat ditegakkan tanpa keutuhan dan kesepaduan masyarakat Islam yang menjadi majoriti bagi sesebuah negara.

“Maka menjadi tanggungjawab kita dan sebagaimana kata Ibnu Khaldun agama tidak dapat ditegakkan tanpa kekuatan golongan masyarakat induk.

“Dakwah tidak dapat dikembangkan tanpa kuasa pemerintahan. Apakan daya kuasa yang hilang, kita kena berjuang,” ujarnya lagi.

Dalam ucapannya Annuar juga bertegas mengatakan Malaysia yang ada pada hari ini adalah dibina hasil daripada asas yang didirikan oleh UMNO dan PAS, bukan usaha kerajaan PH.

“Malaysia yang ada pada hari ini dibina atas asas UMNO dan PAS, bukan dibina atas Pakatan Harapan. Pakatan Harapan yang sambung ambil dividen, itupun tak dapat mengekalkan apa yang kita buat sebelum ini.

“Rizab negara tidak dapat dipertahankan, harga minyak tak dapat dipertahankan, bantuan kepada rakyat tidak dapat dipertahankan, hutang negara tidak dapat dipertahankan, kos sara hidup tidak dapat dipertahankan, cukai tidak dapat dipertahankan.

“Malaysia baru ini bukan menjadi Malaysia yang lebih baik. Mengakulah jangan sombong… kerajaan yang ada pada hari ini sedang bergolak, kerajaan yang ada pada hari ini rapuh.. kerajaan yang ada pada hari ini tak cukup untuk orang Melayu dan umat Islam nak bergantung… mengakulah,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.