Perjuangan Yang Jelas Antara ‘Resepi’ Kejayaan UMNO Mampu Bertahan Dan Terus Bangkit

KEPALA BATAS, 18 Ogos – UMNO merupakan sebuah parti yang mempunyai perjuangan cukup jelas malah mempunyai objektif yang tersendiri di dalam landasannya bagi membolehkan parti itu terus kekal hingga ke hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata atas hakikat itulah walaupun parti menerima pelbagai tekanan dan juga tsunami penghijrahan beberapa pemimpin, ahli yang setia meneruskan langkah memperkasa dan bangkit demi parti.

“Yang jelas di mana-mana tempat saya pergi mesyuarat di dalam khemah dan sebagainya kehadiran tidak pernah berkurangan. Waktu kita menang, waktu kita kalah, waktu kita dalam kerajaan dan di luar kerajaan menunjukkan kehadiran yang sama dan ini menunjukkan semangat perjuangan yang ada pada ahli parti.

“Semua tempat saya pergi dan saya tidak pernah dengar ada cawangan yang dibubarkan kerana ahlinya tidak cukup setelah melompat secara ‘end blok’. Tidak ada,” katanya ketika berucap merasmikan merasmikan Mesyuarat UMNO Kepala Batas, di sini, hari ini.

Turut serta Ketua UMNO Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan pimpinan UMNO setempat, rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan rakan Taa’wun PAS.

Menceritakan senario yang berlaku di Sabah sebelum ini dengan penghijrahan pimpinan bahagian, Ismail berkata apa yang berlaku ada hikmah yang tersendiri.

“Sabah paling teruk berbanding dengan kita. Mula-mula UMNO membentuk kerajaan dan Tan Sri Musa sudah angkat sumpah sebagai Ketua Menteri tetapi akhirnya gugur setelah beberapa ADUN melompat keluar. Waktu itu kita fikir habislah UMNO di Sabah.

“Tetapi UMNO terus kekal dan Ketua-Ketua bahagian lama kekal memimpin bahagian. Sekali lagi gelombang kedua yang berlaku apabila daripada 26 ketua bahagian, 23 daripadanya melompat dan meninggalkan parti untuk menyertai PPBM dan sebagainya. Cuba bayangkan dan saya terus ke Sabah dan panggil mana-mana yang tinggal dan tidak keluar parti.

“Kalau diikutkan dari segi logiknya, dua kali ‘tsunami’ melanda mereka… tetapi apabila saya pergi baru-baru ini merasmikan mesyuarat perwakilan kedatangan tetap tidak berubah selain cawangan-cawangan tidak dibubarkan malah di kawasan Kimanis 500 ahli baru yang memohon untuk menyertai UMNO,” tambahnya.

Tambahnya lagi ahli-ahli yang masih bersama di dalam parti merupakan pejuang dan insya-Allah mereka adalah pejuang yang akan meneruskan perjuangan bersama-sama.

Dalam perkembangan lain, beliau turut percaya akan ada usaha yang akan dilakukan oleh pihak tertentu bagi menggagalkan kerjasama UMNO dan PAS yang akan ditandatangani piagamnya 14 September depan.

“Jangan timbul perasaaan ragu-ragu dengan kerjasama ini. Mereka akan pecah belahkan kita dan pecahkan hubungan antara kedua-dua parti ini. Menjelang Piagam yang akan ditandatangni 14 ini pun pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan piagam ini tidak dilaksanakan.

“Saya percaya kedua-dua parti (PAS dan UMNO) jujur atas kerjasama ini dan insya Allah ia akan ditingkatkan dan selepas piagam ditandatangani bukan sahaja hubungan diperingkat nasional malah diperingkat negeri dan bahagian serta di peringkat cawangan akan kita perkukuhkan bersama,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.