Ceramah Perpaduan Ummah Jelaskan Lagi Taa’wun UMNO Dan PAS
BALIK PULAU, 18 Ogos – Ceramah Perpaduan Ummah isu-isu semasa anjuran bersama UMNO dan PAS Balik Pulau ternyata menarik tumpuan apabila penduduk setempat hadir memenuhi perkarangan Pejabat UMNO bahagian, di sini Sabtu malam.
Ceramah tersebut yang disertai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusuf dan Pengerusi Yayasan Ar-Riyaadah, Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin sarat dengan kupasan isu-isu terkini untuk penjelasan masyarakat umum.
Pelbagai lapisan masyarakat yang hadir termasuklah golongan muda dan pelbagai kumpulan masyarakat lain memperlihatkan perasaan ingin tahu dengan lebih dekat isu-isu yang berlegar dalam negara khususnya soal kerjasama UMNO dan PAS.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid dalam ucapannya melahirkan rasa kagum dengan sambutan dan berharap momentum itu diteruskan terutama dalam menjayakan penyatuan ummah nanti.
“Perjuangan ini adalah satu perjuangan pengorbanan. Jangan biarkan hanya Presiden UMNO dan Presiden PAS sahaja untuk melakarkan penyatuan ummah ini.
“Kita ada peranan masing-masing untuk melakukan pengorbanan demi ummah keseluruhannya, demi rakyat keseluruhannya, demi negara keseluruhannya,” katanya.
UMNO dan PAS kini menuju ke fasa baharu dalam ta’awaun siyasinya apabila pada 14 September nanti akan mencipta sejarah buat politik tanah air di mana akan diadakan majlis menandatangani piagam antara kedua-dua parti. – UMNO ONLINE