Bukan Hanya Tiga Tetapi Semua MP BN Yang Lompat Parti Akan Disaman

KELANA JAYA, 18 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan undang-undang akan diambil secara berperingkat kepada semua Ahli Parlimen yang dulunya menang atas tiket Barisan Nasional (BN) dan mewakili UMNO tetapi akhirnya mengambil keputusan lompat parti setelah BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Jelas beliau, kesemua mereka disaman oleh firma guaman yang berbeza maka tidak timbul isu hanya tiga ahli Parlimen yang lompat parti sahaja di saman.

“Tindakan saman akan diambil ke atas semua Ahli Parlimen BN yang lompat parti. Tindakan ini diambil setelah Biro Politik dan Ahli Majlis Tertinggi membuat keputusan demi kepentingan parti dan ia bukan keputusan individu,” ujar beliau kepada media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Petaling Jaya di Kelana Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kepada soalan media mengapa hanya tiga Ahli Parlimen sahaja yang disaman.

Untuk rekod, UMNO dan BN mengemukakan saman terhadap tiga bekas Ahli Parlimen BN yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tiga Ahli Parlimen tersebut adalah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Saman itu difailkan berikutan dakwaan mereka melanggar kontrak, melanggar kepercayaan, mendapat kekayaan yang tidak sepatutnya berikutan sumber kewangan dan sokongan yang diberikan selain memberikan harapan yang tidak adil kepada parti.

Saman terhadap Hamzah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala terhadap Mustapa dan Ikmal Hisham di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan.

Dalam saman tersebut, UMNO dan BN berkata, sebelum penamaan calon bagi PRU-14, parti memberikan bantuan kewangan dan pelbagai bentuk bantuan lain kepada semua defendan termasuklah segala perbelanjaan sebelum hari penamaan calon dan memberikan sokongan kepada defendan bagi memastikan sokongan pengundi kepada mereka malah mereka juga menggunakan jentera parti untuk berkempen.

Berikutan itu, terdapat satu terma tersirat yang termaktub di antara kedua-dua belah pihak di mana mereka akan kekal sebagai ahli parti jika memenangi kerusi Parlimen bagi memajukan agenda parti untuk keperluan pengundi.

Dengan menerima pelbagai bentuk perbelanjaan dan sokongan sehingga berjaya dipilih menjadi Ahli Parlimen dan seterusnya mendapat pelbagai ganjaran, plaintif (UMNO dan BN) berkata defendan menerima kekayaan yang tidak sepatutnya.

Tindakan mereka keluar parti telah membawa kerugian kepada UMNO dan BN.

Justeru, UMNO dan BN menuntut defendan membayar ganti rugi khas RM200,000 kepada UMNO dan ganti rugi am dibayar kepada parti itu dan BN serta ganti rugi teruk, teladan dan relif lain.

Pada 12 Februari lalu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan penyertaan enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu.

Mereka ialah Hamzah, Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham.

Sementara itu, Mustapa mengumumkan keluar UMNO pada 18 September tahun lalu dan menyertai PPBM pada 26 Oktober tahun sama. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.