Akidah, Keimanan Dan Keikhlasan Jadi Tonggak Kerjasama UMNO Dan PAS


KELANA JAYA, 18 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama politik antara UMNO dan PAS bukan hanya sekadar piagam yang bakal ditandatangani pada 14 September ini tetapi apa yang lebih penting adalah pelaksanaan kepada piagam tersebut.

Kerana itulah, beliau telah menyarankan kepada Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO malah telah menyampaikan juga kepada kepimpinan PAS bahawa piagam ini hendaklah berlandaskan akidah, keimanan dan keikhlasan dan bukan semata-mata berlandaskan kerjasama politik.

“Jika akidah menjadi landasan, keimanan jadi pegangan dan keikhlasan dijadikan tapak untuk melaksanakan piagam ini, bukan sekadar negeri Selangor ini kita rampas semula, tetapi Putrajaya pun kita akan rampas semula.

“Dengan syarat mestilah berlandaskan tiga perkara tersebut kerana apa yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH), persepakatan mereka hanya berlandaskan kepentingan politik… perjanjian mutaah. Sebab itu kita boleh lihat pecah-belah telah mula berlaku dalam PH.

“Lihat apa yang berlaku dalam PKR, PPBM, Dap dan Amanah… bukan retak menanti belah tetapi pecah menanti kehancuran,” ujar beliau ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Petaling Jaya di sini, hari ini.

Tambah Zahid, kerana itulah kerjasama yang dijalankan oleh UMNO dan PAS harus berlandaskan tiga perkara tersebut agar ia tidak akan terungkai.

Selain itu beliau turut menegaskan, walaupun UMNO telah menjalinkan kerjasama bersama PAS namun UMNO tidak akan sama sekali meninggalkan rakan komponen dalam BN.

“Jangan risau… kita akan bersama-sama, jalinkan kerjasama, bersatu bersama rakan-rakan di Sabah dan Sarawak untuk kita menang dalam PRU-15 nanti,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.