Pakar Forensik London Sahkan Azmin Pelaku Dalam Video Semburit

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Presiden Sekretariat Suara Rakyat Datuk Lokman Noor Adam mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali dari senarai kabinet kerana didakwa terlibat dengan video semburit.

Jelas beliau, desakan itu dilakukan kerana hasil laporan forensik yang dilakukan di London membuktikan bahawa pelaku dalam video tersebut adalah Azmin dan Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul.

“Laporan setebal 55 muka surat ini dilakukan oleh pakar yang bertauliah malah pakar tersebut telah menandatangani satu dokumen yang menyatakan kesanggupan untuk datang ke Malaysia bagi membuktikan kesahihan hasil laporannya.

“Hasil laporan ini juga sekaligus membuktikan ketua Polis Negara Datuk Hamid Bador dan Peguam Negara Tommy Thomas telah menipu,” ujar beliau dalam ‘live FB’ yang dilakukan dari London.

Tambah Lokman, susulan daripada hasil laporan tersebut juga beliau akan mengambil tindakan terhadap Hamid dan Tommy kerana mendakwa menipu kononnya pelaku dalam video tersebut tidak boleh dikenalpasti.

“Saya nak bagi tahu Hamid Bador, budak sekolah kalau guna aplikasi FBpun boleh kenal pelaku dalam video itu Haziq dan Azmin.

“Jadi, saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada Ketua Polis negara dan Peguam Negara kerana telah melindungi penjenayah di bawah seksyen 377 (A) melakukan hubungan sejenis dan boleh dihukum di bawah seksyen 377 (B).

“Peguam saya juga akan menghantar satu surat untuk meminta Peguam Negara mengambil tindakan undang-undang berdasarkan hasil forensik yang diperolehi ini. Dengan dokumen ini, Peguam Negara tidak boleh mengelak lagi untuk mengambil tindakan terhadap Azmin. Sekiranya Peguam Negara gagal melakukan pendakwaan maka kami akan memulakan tindakan saman,” tegas beliau.

Untuk rekod, Pada 12 Jun lalu, Haziq menggemparkan negara dengan mengaku sebagai pelaku dalam video tular seks sejenis bersama seorang lagi lelaki mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun Azmin menafikan dirinya terbabit dengan video lucah berkenaan, sebaliknya mendakwa tuduhan tersebut bertujuan mematikan kerjaya politik beliau.

Bagi membuktikan Azmin terlibat, Lokman telah membawa keratan-keratan video tersebut ke luar negara untuk disiasat oleh pakar forensik.

Sebelum ke London, Lokman telah membawa ke Indonesia dan hasil laporan forensik juga membuktikan Azmin dan Haziq adalah pelaku dalam video terbabit. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.