Ke Mana Masa Depan Negara… Kestabilan Politik Negara Makin Terjejas Era PH

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ecxo Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin hari semakin menggadaikan masa depan negara apabila gagal menangani pelbagai konflik dalaman negara sehingga menimbulkan ketidakstabilan politik negara.

Menurut beliau ketidakstabilan politik sudah tentunya akan menjejaskan perkara asas lain seperti aspek ekonomi serta sosial dan kesannya, masa depan negara dan rakyat Malaysia dikhuatiri akan terjejas.

“Kini, kestabilan politik negara semakin terjejas ibarat ‘telur dihujung tanduk’ apabila timbulnya pelbagai isu serta provokasi yang menjejaskan keharmonian negara.

“Terkini, Dong Zong serta beberapa pertubuhan lain semakin radikal dalam membantah tulisan khat yang dianggap ancaman kepada hegemoni budaya orang Cina.

“Malah, pemimpin Dap yang mendakwa parti mereka adalah bersifat pelbagai etnik juga menentang tulisan jawi yang sememangnya menjadi warisan tradisi orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dalam konteks hari ini tambahnya, kerajaan dilihat gagal menangani isu dalam negara yang melibatkan suara dari pelbagai kaum sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tegasnya lagi kerajaan seharusnya menjadi agen kepada penyelesaian konflik dan mencari solusi untuk menangani isu ini.

“Parti komponen PH lain yang majoritinya orang Melayu juga tidak progresif dalam memperjuangkan maruah dan tradisi bangsa Melayu sehingga dipertikaikan oleh bangsa lain,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.