Baru Sekarang Bersuara, Patutnya Mat Sabu Awal-awal Bela ATM…

PENDANG, 16 Ogos – “Patutnya Mat Sabu orang pertama yang pertahankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kala di hina. Dulu masa jadi pembangkang dia begitu lantang bersuara membela ATM tapi kini bila sudah jadi kerajaan mengapa lepas didesak baru bersuara?” ujar Ahli Parlimen Pendang (PAS) Awang Hashim.

Ujar beliau, selaku Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau Mat Sabu seharusnya segera tampil mengeluarkan kenyataan membela warga ATM dan bukannya mengunci mulut seolah-olah ada menerima imbuhan yang mengikat beliau dari bersuara.

“Menteri Pertahanan ini perlu menjawab dan membela ATM tapi tindakan dia yang berdiam diri dan hanya bersuara lepas didesak seakan apatah lagi dikala warga ATM memerlukan pembelaan.

“Jika dulu dia begitu lantang mengkritik pentadbiran Barisan Nasional (BN) kononnya tidak membela pasukan keselamatan tapi kini setelah diberi tanggungjawab mengapa jadi begini?

“Sekiranya dia tidak menerima sebarang imbuhan dan tidak mempunyai kepentingan maka sepatutnya segera bersuara dan ambil segera tindakan kepada individu yang tidak bertanggungjawab ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Awang, walaupun individu yang menghina warga ATM telah memohon maaf tetapi ia tidak mencukupi kerana tindakan perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada orang lain agar jangan sewenang-wenangnya menyalahgunakan kebebasan bersuara di negara ini.

“Individu terbabit harus sedar, dia tidak akan kaya dan hidup senang tanpa jasa warga ATM yang menjaga keamanan. Zaman negara ini dijajah, pasukan keselamatan negara ramai yang terkorban kerana apa? Kerana mahu memastikan negara ini aman dan rakyat boleh mencari makan.

“Jika negara ini tidak aman dan jika bukan kerana jasa pasukan keselamatan, adakah anda rasa anda boleh menjadi kaya?” bidas beliau seterusnya.

Selasa lalu, tular di media sosial kenyataan seorang ahli perniagaan pro-Dap, Koon Yew Yin yang menyifatkan anggota tentera tidak berbuat apa-apa sebaliknya hanya makan dan tidur namun baru hari ini Mat Sabu mengeluarkan kenyataan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.