Jangan Termasuk Perangkap PH Yang Didalangi Dap Hidupkan Sentimen Perkauman – Lokman

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengingatkan orang ramai agar tidak termakan dengan sandiwara Pakatan Harapan (PH) yang ditunjangi Dap dalam pelbagai isu yang menyemarakkan api kebencian orang Melayu terhadap bukan Melayu sekarang ini.

Katanya, pelbagai isu yang dibangkitkan oleh kerajaan sekarang ini termasuklah idea mahu mewajibkan tulisan jawi termasuk di sekolah cina dan tamil, lakonan ketegasan Perdana Menteri terhadap Dap dan Dong Zong serta isu mempertahan Dr Zakir Naik.

“Ketika zaman Tun Dr Mahathir jadi PM dulu tulisan jawi lenyap di sekolah kebangsaan, tidak pernah sekalipun dalam tempoh 22 tahun jadi PM, beliau pernah serius ingin mewajibkan tulisan jawi semula.

“Kenapa kini tiba-tiba beliau mahu mewajibkannya hingga ke sekolah Cina dan Tamil?” kata beliau menerusi kenyataan media hari ini.

Tegas beliau, rakyat perlu ingat bahawa isu khat dan isu Dr Zakir Naik dicetus oleh PM untuk menarik sokongan Melayu dan supaya Dap berjaya memperkukuh sokongan bukan Melayu yang mula menolak mereka terutamanya atas kegagalan mentadbir ekonomi negara dan menunaikan janji sebelum pilihan raya.

“Yang sambut beria-ia isu ini ialah Dap, kerana mereka tahu jika Tun Dr Mahathir berjaya tarik seramai mungkin ahli Parlimen Melayu, PH akan peroleh majoriti 2/3.

“Yang akan untung tetap Dap kerana mereka boleh menambah kerusi parlimen di kawasan-kawasan Dap. Kalau MP Dap 42 orang pun hak kita musnah cuba bayangkan jika mereka lebih banyak kerusi?”

Maka, katanya, sewajarnya semua rakyat Malaysia sedar ini semua sandiwara PH untuk kekal berkuasa.

“Kita boleh teruskan mengecam dan marah kepada Dap atas kebiadapan mereka, namun, jangan sesekali terpedaya atau terkagum dengan lakonan ketegasan PM terhadap Dap dan Dong Zong serta ketegasan beliau mempertahan Dr Zakir Naik.

“Kini kita melihat tekanan terhadap Islam, kedudukan Istimewa Bumiputra, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kedudukan Raja-raja Melayu mula dipertikai,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.