Isu Jawi, Khat: Benarlah Dap Kuasai PH, Kabinet Tun Mahathir Hanya ‘Rubber Stamp’ – Khaled


KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Keputusan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa pelaksanaan pengajaran Jawi di sekolah vernakular adalah tertakluk kepada persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menunjukkan siapa sebenarnya yang menguasai PH, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bidasnya, ternyata Dap adalah penguasa sebenar kerajaan PH manakala Menteri Kabinet di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya ‘rubber stamp’ kepada sutradara Dong Jiao Zong yang dilakon layarkan oleh Dap.

“Negarawan besar seperti Tun Mahathir pun tertewas dengan desakan tidak munasabah Dap.

“Keputusan Kabinet itu bukan satu konsensus. Konsensus tidak akan menyebabkan terhapusnya Jawi dalam sistem persekolahan vernakular.

“Konsensus tidak akan mematikan semangat di Jawi dan pengajarannya, iaitu meraikan kemajmukan Malaysia,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Sebagaimana kenyataan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mesyuarat Jemaah Menteri PH semalam telah membuat keputusan mengekalkan keputusannya sebelum ini supaya pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) mulai tahun 2020 diteruskan.

KPM bagaimanapun berkata, ia hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid bagi SJK manakala bagi sekolah kebangsaan ia akan teruskan seperti biasa.

Untuk rekod, pengenalan tulisan khat dan jawi di SJK mendapat tentangan daripada pelbagai pihak sekolah vernakular tersebut terutamanya Dong Jioa Zong hingga KPM akur menjadikan ia pilihan dan dikurangkan dari enam muka surat kepada tiga muka surat sahaja.

Jelasnya Khaled lagi, umum mengetahui bahawa tiada PIBG sekolah vernakular akan membenarkan pengajaran Jawi dilaksanakan.

Demikianlah tragedinya di sebalik kedudukan, martabat dan status istimewa Bahasa Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ujarnya tidak akan melupakan pengkhianatan luar biasa tersebut.

“Mana perginya sang Anwar Ibrahim yang selama ini selalu dianggap sebagai pejuang Bahasa Melayu.

“Mana suaranya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan rakan-rakan dalam Kabinet yang dulu pernah berarak di jalanan menentang pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

“Mana perginya perjuangan Syed Saddiq dan rakan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)nya dalam mempertahan, memperjuang dan memperkasakan Bahasa Melayu demi kepentingan nasional,” soalnya lagi.

Mengulas lanjut, Khaled memberi peringatan kepada kepada semua Menteri Kabinet Melayu.

“Ingatlah, apa yang kamu persetujui kelmarin akan menghantui kamu seumur masa.

“Namun bangsa dan tanah air ini, tidak akan diliputi mega mendung selamanya. Masakan sang bulan pura berduka sedangkan langit penuh berbintang,” katanya.

Justeru itu, Khaled berpandangan bahawa tragedi semalam akan menjadi lonjakan kepada semua pejuang agama, bangsa dan negara untuk mengembalikan pengaruh, kuasa dan kepentingan Melayu dalam nadi dan nafas tanah air.

“Dan akan kami lakukan tanpa meluka dan menafikan hak serta kepentingan bangsa lain pastinya,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.