Tentera Hanya Makan Tidur… Bulan Kemerdekaan Dicemari Hinaan Ahli Perniagaan Pro-PH

ALOR SETAR, 14 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membidas kenyataan seorang ahli perniagaan pro-Pakatan Harapan (PH) yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apatah lagi hinaan tersebut dibuat dalam bulan kemerdekaan.

Jelas beliau, kenyataan tersebut harus ditarik balik dan individu terbabit mestilah memohon maaf bukan sahaja kepada warga ATM tetapi kepada ahli keluarga mereka.

“Amat malang sekali… saya sebagai seorang bekas petugas ATM selama 24 tahun sebelum berada di saf kepimpinan negara, dapat merasakan betapa lemparan tuduhan keji seumpama ini tidak dapat diterima sama sekali. Ia bukan sahaja menghiris hati saya dan rakan-rakan seperjuangan tetapi juga ahli keluarga warga ATM.

“ATM berjuang dengan mempertaruhkan nyawa demi negara Malaysia tercinta. Melalui slogan ‘biar berputih tulang, jangan berputih mata’ ianya dibuktikan melalui tinta sejarah wira-wira yang terkorban, cacat dan cedera, balu-balu yang ditinggalkan, anak-anak yang dibesarkan tanpa seorang bapa, semua pahit maung kehidupan dihadam demi negara Malaysia.

“Tahun 2019 di mata tahun pertama pucuk pimpinan negara bertukar kepada PH, di saat negara dan ATM sedang bersiap menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, ATM dicela… dikatakan hanya ‘pandai makan dan tidur’. Adakah ini balasan di atas segala harga pengorbanan setiap anggota ATM dari dahulu sehingga sekarang?,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Jamil Khir, warga ATM bukan berniat mahu mengungkit sejarah duka lara mempertahan negara namun hinaan terhadap perjuangna mereka ini harus ditarik kembali.

“Tiada siapapun yang dapat menafi atau memadamkan sejarah bukti pengorbanan dan perjuangan warga ATM kerana ianya dibuktikan dengan darah yang ditumpahkan serta nyawa yang diserahkan. Buat pejuang yang terkorban, bersemadilah dengan dakapan keredhaan Ilahi dan buat pejuang yang sedang menjadi menyambung perjuangan ini, anda adalah wira-wira negara walaupun ianya tidak didendangkan,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.