Jangan Perlekeh Dan Hina Angkatan Tentera Malaysia – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Jangan perlekeh dan hina angkatan tentera Malaysia, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian menerusi Facebooknya hari ini sebagai maklumbalas terhadap kenyataan taikun yang juga penyokong kuat Dap, Koon Yew Yin berkenaan keperluan mengecilkan saiz kakitangan awam dengan memberi contoh kalangan perajurit dan anggota tentera yang dianggap hanya menghabiskan masa dan merugikan negara.

“Kalaulah Askar ini makan dan tidur sahaja seperti yang dituduh Koon Yew Yin. Negara ini tidak akan bebas dari pengganas komunis. Sempadan negara baik darat, laut dan udara akan diceroboh musuh.

“Kepada funder PH/Dap cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar,” bidas beliau lagi.

Semalam, dilaporkan tulisan Yew Yin dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan PH mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan.

Antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja malah mendakwa majoriti anggota tentera tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran dan sepatutnya mereka digunakan untuk mengganti pekerja asing yang diupah di ladang Felda. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.