Anggota ATM Hanya Makan, Tidur, Tak Pernah Menembak… Kenyataan Koon Yew Yin Satu Penghinaan


KUALA LUMPUR, 14 Ogos – “Saya amat kecewa, sedih dan marah dengan kenyataan Koon Yew Yin yang menuduh anggota ATM kita hanya makan dan tidur, sedangkan selama ini anggota ATMlah yang bersengkang mata serta mencagarkan nyawa dan darah demi memastikan kita dapat terus hidup dalam suasana negara yang aman, selamat dan sejahtera.”

Demikian bidas bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein terhadap kenyataan taikun pro-Dap, Koon Yew Yin.

Tegas beliau, anggota ATMlah yang mempertahankan sempadan tanah air, mengekang pencerobohan kumpulan-kumpulan ekstremis di kawasan ESSCOM dan menghalang penularan ideologi ISIS.

“Malah, setiap kali kita berhadapan dengan bencana besar seperti banjir di Kelantan dan Pulau Pinang serta pencemaran Sungai Kim Kim, anggota ATM jugalah yang paling awal tampil memberi bantuan. Walhal, itu bukan tugas hakiki ATM. Namun atas dasar tanggungjawab dan kecintaan terhadap negara, mereka sanggup berkorban apa sahaja.

“Itu belum termasuk kejayaan-kejayaan ATM yang saya sendiri saksikan sewaktu menjadi Menteri Pertahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maklum beliau, antara kejayaannya ialah keterlibatan ATM dalam misi keamanan dan kemanusiaan di seluruh dunia.

“Justeru, jika kesemua bukti ini tidak menunjukkan pengorbanan, kesungguhan dan keupayaan anggota ATM, apa lagi yang Koon Yew Yin harapkan?

“Saya juga tertanya-tanya di mana suara Menteri Pertahanan dalam membela dan mempertahankan warga ATM di saat mereka dihina dan diperlekehkan.

“Mat Sabu seolah-olah mengiyakan kenyataan Koon Yew Yin. Malah, Timbalan beliau, Liew Chin Tong juga hanya mengeluarkan kenyataan untuk menerangkan peranan ATM tetapi langsung tidak mengkritik pendirian Koon Yew Yin.”

Bidas beliau, lebih membimbangkan, mereka dilihat lebih rapat dan cenderung dengan pemimpin radikal komunis.

“Koon Yew Yin mengaku pernah berjumpa Chin Peng di Bangkok. Mat Sabu juga pernah mengangkat Mat Indera, pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

“Sekiranya perkara seumpama ini berterusan dan tiada tindakan yang diambil, ia akan menggugat keharmonian, kesejahteraan negara dan mewujudkan kekecewaan yang lebih besar dalam kalangan rakyat Malaysia.”

Kata beliau, walau apa jua keadaan, jangan sesekali warga ATM menyerah mahupun tunduk kepada tuduhan-tuduhan yang tidak berasas oleh pihak yang cuba mengancam integriti warga ATM.

“Teruskan khidmat bakti dan perjuangan dalam memelihara kedaulatan tanah air. Saya akan tetap berdiri teguh bersama anggota ATM dan mendoakan agar segala usaha anggota ATM diberkati dan dirahmati. Teruskan perjuangan!” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.