Ahli Perniagan Pro-PH Ditempelak… Jika Negara Tak Selamat Bolehkah Beliau Bina Kekayaan?

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menempelak seorang ahli perniagaan pro-Pakatan Harapan (PH) yang mempertikaikan tugas anggota tentera yang telah berkorban demi keselamatan negara sekian lama.

Dilaporkan, Koon Yew Yin, ahli perniagaan berusia 83 tahun, dalam penulisan di laman blog kendaliannya semalam berkata, anggota tentera, seperti yang kita ketahui, hanya makan dan tidur sahaja. Majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran. Sepatutnya mereka digunakan untuk ganti pekerja asing yang diupah di ladang FELDA.

“Sedang negara kita aman makmur, keselamatan terjamin, rupa-rupanya ada lagi manusia macam ni. Mempertikai belanja kerajaan kepada pasukan keselamatan terutamanya Angkatan Tentera Malaysia adalah satu tindakan yang menghina dan biadap!” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya hari ini.

Tegasnya, faktor keselamatan dan ketenteraman awam antara faktor kepada kemajuan ekonomi sesebuah negara.

“Soalan saya kepada ahli perniagaan ini, jika kerajaan tiada pasukan keselamatan, jika kerajaan tidak melabur untuk keselamatan negara, adakah dia dan ahli perniagaan lain dapat membina kekayaan dalam negara?”

Menerusi tulisan Yew Yin, beliau turut mencadangkan kerajaan untuk mengambil langkah bagi mengimbangi situasi dalam sektor awam yang dihadapi. Antaranya untuk tidak mengambil pekerja baharu bagi mengurangkan bebanan sektor perkhidmatan awam selain kerajaan perlu menyemak senarai pekerja dan pecat pekerja yang tidak diperlukan.

Menurut beliau, jumlah penjawat awam yang terlalu ramai menyebabkan kerajaan menanggung beban perbelanjaan yang tinggi sekaligus mengurangkan pendapatan kerajaan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.