PM Kata Dong Zong Rasis: PH Diminta Ambil Tindakan Tegas

MARAN 13 Ogos – Kerajaan diminta mengambil tindakan yang tegas termasuk mempertimbangkan pengharaman Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang disifatkan sebagai rasis oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kenyataan rasis terhadap persatuan itu daripada Perdana Menteri sendiri sangat serius dan perlu diberi tindakan segera bagi mengelakkan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Kuasa di tangan Perdana Menteri, kalau beliau berasakan satu persatuan itu rasis dan risikonya boleh menyebabkan cetusan sensitiviti perkauman yang boleh mencetuskan perkara-perkara tidak baik.

“Mungkin boleh dipertimbangkan sama ada perlu diharamkan atau ambil tindakan yang tegas, itu yang paling penting bagi kita dan janganlah cakap sahaja tetapi tindakan tidak pula buat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Korban dan Kenduri Kampung UMNO Bahagian Maran di sini hari ini.

Sebanyak tiga ekor lembu dan seekor kerbau dikorbankan pada majlis berkenaan yang diikuti kenduri kampung hasil gotong-royong penduduk setempat.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang mengabungkan sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT). – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.