Piagam UMNO-PAS Tepat Pada Masa, Tolak Pihak Cuba Gagalkan Kerjasama


KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Exco Pergerakan Puteri UMNO, Fadwah Anuwar percaya akan ada pihak-pihak tertentu yang tidak senang duduk dengan perkembangan senario politik semasa khususnya hubungan UMNO dan PAS yang akan memeterai piagam kerjasama pada 14 September nanti.

Malah menurut beliau mungkin ada yang akan memburukkan piagam ini sebagai tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Apapun yang difikirkan oleh pihak lawan tidak menjejaskan pemeteraian ini. 14 September merupakan detik yang cukup bersejarah buat kedua-dua parti terbesar orang Melayu dan Islam kerana buat pertama kalinya piagam UMNO dan PAS akan dimeterai.

“Piagam kerjasama kedua-dua parti ini yang bertitik tolak dari Pilihan Raya Kecil (PRK) yang membawa kemenangan di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau dengan bukti kerjasama kedua-dua parti ini bukanlah retorik semata-mata. Ketiga-tiga kemenangan calon Barisan Nasional (BN) ini merupakan testimoni kepada kekukuhan dan semangat kerjasama antara keduanya,” ujar beliau kepada UMNO Online.

Tambah Fadwah, kerjasama yang konsisten ini sebenarnya telah membuka mata rakyat bahawa sudah tiba masanya untuk bersama membawa negara ke satu tahap yang lebih baik dari sebelumnya.

“Ibarat barah … kalau tidak dijaga dan dirawat segera ianya pasti meruntuhkan seluruh sistem.

“Belum pernah lagi dalam mana-mana negara yang majoritinya Islam menindas yang bukan Islam maka ta’awun siyasi UMNO dan PAS ini bersifat menyeluruh dan sejagat.”

Namun jelasnya lagi, bagi mereka yang bukan beragama Islam dan bukan berbangsa Melayu, usah khuatir kerana jika dilihat pada sejarah Islam, piagam UMNO dan PAS boleh difahami seperti Piagam Madinah di zaman Baginda Nabi Muhammad SAW.

“Semoga Piagam UMNO dan PAS ini menjadi asas kepada kemakmuran sebuah negara bernama Malaysia yang berbilang kaum dan fahaman agama,” katanya lagi – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.