Koon Yew Yin Biadap, Bongkak… Kaya Bukan Lesen Hina Anggota Keselamatan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kebebasan bersuara harus berserta perasaan hormat dan rendah diri, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan.

Pesannya, ianya bukanlah dengan bersifat biadap dan bongkak dari seorang yang kaya menghina golongan yang berkorban untuk negara melaksanakan kerja terpuji.

“Rata-rata manusia sedunia mengangkat darjat pasukan keselamatan dan pertahanan negara sendiri.

“Tapi mungkin manusia seorang ini terlalu tebal keangkuhan cauvinismenya untuk ada sedikit pun rasa berterima kasih,” tegasnya.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Shahril mengulas mengenai taikun perniagaan Koon Yew Yin hari ini yang telah menghina keseluruhan anggota keselamatan negara terutamanya anggota tentera apabila menyatakan bahawa mereka selama ini hanya makan dan tidur serta tidak pernah menembak musuh.

Disebabkan itu ahli perniagaan yang mengaku menjadi penyumbang dana kepada parti-parti Pakatan Harapan (PH) itu mencadangkan agar anggota tentera membuat kerja-kerja ladang bagi menggantikan pekerja asing.

“Ini adalah contoh bagaimana seorang yang telah hidup kaya dan hidup selesa memperlekeh serta menghina kerja mulia anggota tentera yang sentiasa bersedia mempertahankan negara jika berlakunya apa-apa risiko keselamatan,” tambahnya.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama Koon Yew Yin bersikap biadap, bidas Shahril.

“Sebelum ini, dia juga pernah membuat tuduhan serius kononnya terdapat amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak di awal pemerintahan Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak.

“Tindakannya memfitnah Almarhum Sultan Azlan Shah telah disusuli dengan pembatalan pelantikannya sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak oleh Menteri Besar pada tahun lalu.

“Dia juga selepas itu telah menuduh bahawa Sultan Nazrin Shah telah campur tangan dalam keputusan yang menyebabkan pelantikannya dibatalkan,” ujanya lagi.

Mengulas lanjut, Shahril berpendirian kenyataan Koon Yew Yin yang terbaru itu pastinya akan menimbulkan kemarahan masyarakat.

“Dalam keadaan perpaduan dalam negara sedang diuji dengan pelbagai isu akhir-akhir ini, perkara ini hanya akan menambah minyak dalam api yang sedia ada,” tegasnya sekali lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.