Dap Hina Masyarakat Cina, Cetus Provokasi Perkauman Dan Agama – Bidas MCA

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – “Adakah dia nak kata orang Cina suka pornografi? Ini juga satu penghinaan,” tegas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tegas Wee dalam satu hantaran di Facebook, banyak lagi contoh boleh digunakan.

“Kenapa tak guna poster-poster iklan lama seperti tayangan filem, produk makanan dan minuman atau seumpamanya?

“Bukankah itu lebih baik? Saya tidak merasakan orang Cina tidak faham jika ia digunakan sebagai bahan untuk sesi penerangan.

“Apabila beliau jadikan pornografi sebagai contoh, ia secara tidak langsung telah mengguris hati ramai pihak khususnya orang Melayu dan beliau masih enggan memohon maaf! Tegasnya.

Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam memberi reaksi demikian mengenai tindakan Ahli Parlimen Dap kawasan Kluang, Wong Shu Qi yang yang setelah dikecam teruk oleh rakyat mengenai tindakannya mengaitkan tulisan jawi dengan bahan pornografi.

Wong dalam respon balasnya mengatakan “Orang Cina lebih faham jika guna contoh pornografi.”

Wong juga mendakwa bahawa beliau menggunakan contoh yang ‘tidak serius’ agar ianya mudah difahami para pemimpin masyarakat Cina.

Tambah Wee, Wong juga berkata klip video yang tersebar itu dirakam tanpa kebenaran.

“Tapi, beliau semasa memberi penerangan telah lantang memberitahu pemimpin NGO (badan bukan kerajaan) Cina di Kluang bahawa beliau sedar ada pihak yang membuat rakaman video tetapi tidak gentar kerana benar.

“Apa maksudnya? Kenapa buat pusingan U lagi selepas terbongkar rakaman video?

“Adakah pemimpin Dap mula bimbang selepas tersasul atau tersilap cakap sehingga menyinggung perasaan orang lain? Soalnya juga.

Mengulas perkara yang sama, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata kepimpinan Dap harus membuat kenyataan kekesalan ke atas ahli Parlimen mereka itu dan menasihatinya untuk bertaubat.

Begitu juga katanya dalam satu kenyataan di Facebook, Dap perlu membuat kenyataan umum memohon maaf dan sekaligus memadamkan api provokasi serta menutup bab tersebut yang telah menimbulkan kemarahan dan emosi umum.

“Dap seharusnya bertaubat dan meminta ahli Parlimen mereka memohon maaf dan bukannya degil dan sebaliknya cuba menyalahkan MCA dan UMNO. Ini memang taktik biasa Pakatan Harapan, malah sebelum ini Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng juga dilaporkan menyalahkan media berbahasa Cina Sin Chew menimbulkan kebimbangan rakyat dalam isu-isu sebenar.

“Sekiranya Ahli Parlimen Wong Shu Qi berani membuat kenyataan sedemikian, beliau juga harus berani menghadapi padah dan menanggung dosa, terutamanya apabila dirakamkan sambil ketawa seakan-akan memperlekehkan semasa merujuk kepada tulisan Jawi dalam buku-buku lucah,” tegasnya lagi.

Bidas Ti lagi, pemimpin-pemimpin Dap seharusnya sedar bahaya dan risiko mengaibkan agama Islam dan Jawi dengan membawa unsur atau rujukan pada buka-buku lucah.

“Pemimpin Dap patut sedar kenyataan sedemikian bakal memprovokasi emosi dan membangkitkan salah faham dan kemarahan masyarakat Melayu dan penganut Islam,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.