Kes Gaduh Maut : Tahap Profesionalisme Polis Sekali Lagi Diuji

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kejadian kemalangan yang melibatkan Syed Muhammad Danial Syed Syakir sangat mendukacitakan dan ia sekali lagi menguji tahap profesionalisme Polis Diraja Malaysia ( PDRM).

Ini kerana jelas beliau kejadian yang berlaku di Kilometer 239 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur Bandar Baharu Bangi, Selangor telah menarik perhatian pelbagai pihak.

Justeru tegasnya PDRM mesti melakukan siasatan terperinci dalam menanggani kes ini.

“Saya juga minta siasatan adil, dan telus segera diselesaikan, supaya dapat membendung dari berlakunya perkara lain.

“Kita harap pihak polis akan mengambil tindakan adil dan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan dalam kes ini”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya berkata pelbagai pihak pasti inginkan keadilan dan undang undang diwujudkan antaranya bertujuan melindungi rakyat.

“Oleh itu rakyat mesti diberikan pembelaan.

“Apapun berikan keyakinan dan kepercayaan pada PDRM mengendalikan kes ini. Rakyat yang teraniaya mesti dibela”, ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan takziah kepada isteri allahyarham Syed Muhammad Denial dan berharap isteri serta keluarganya bersabar menghadapi keadaan ini apatah lagi kejadian ini berlaku ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Aidiladha.

“Dalam apa situasi pun, tiada siapa yang boleh mengatasi undang undang”, katanya.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Berikutan itu sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an ditahan reman selama tujuh bagi membantu siasatan. -UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.