Semangat Bersedia Untuk Berkorban Wajar Disuburkan


KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Semangat bersedia untuk berkorban wajar disuburkan dalam diri semua, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jelas Ahli Parlimen Padang Terap itu, ianya semangat sentiasa bersedia untuk memberi dan bukan menerima, memiliki empati dan simpati sesama insan seterusnya meningkatkan rasa takwa kepada Allah S.W.T.

“Aidiladha satu perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari kita sebagai umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah S.W.T.

“Seharusnya kita meneladani perjuangan, pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim A.S. serta keluarga Baginda terhadap perintah Allah S.W.T.,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini, 1440 hijrah.

Mahdzir turut mendoakan semoga amal ibadah semua dalam menyambut Aidiladha mendapat keberkatan dan keredaan-Nya.

Perkara sedemikian turut senada daripada seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berkata sebenarnya, hampir tidak ada perkara dalam dunia ini yang memberikan ganjaran yang baik tanpa memerlukan pengorbanan.

“Demikian juga dalam ajaran agama kita. Ketaatan kepada agama harus dizahirkan dengan kesanggupan melakukan ibadah korban yang sangat dituntut.

“Dengan ikhlas, dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Justeru itu, Khaled mengharapkan agar ia terus menjadi pegangan semua baik bagi pemimpin mahupun ahli-ahli parti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.