Dap ‘Bertopeng Dua’, Perosak Keharmonian Bangsa, Tiada Sensitiviti… Jangan Hina Warisan Orang Lain
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan tetap berpendirian bahawa Dap adalah perosak bangsa dan negara.
Bidas Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA itu, Dap akan bercakap lain depan masyarakat Cina manakala depan masyarakat bukan Cina pula lain ceritanya.
“Buruk padahnya kalau negara ini terus dipimpin oleh puak-puak yang bertopeng dua ini.
“Hancur negara! Tegasnya dalam satu lontaran di Facebook.
Mike berkata demikian ketika merujuk kepada satu klip video yang viral mengenai Ahli Parlimen Dap Kluang, Wong Shu Qi yang tergamak memperlekehkan tulisan Jawi dengan mengaitkan ia dengan buku-buku lucah.
Justeru itu, Mike yang juga Ketua Pemuda MCA Wangsa Maju membantah sekeras-kerasnya tindakan wakil rakyat Dap itu yang terus bermain api.
“Saya membantah sekeras-kerasnya tindakan YB (Yang Berhormat) Dap ini yang seumpama sedang bermain api dan langsung tidak menjaga sensitiviti kaum lain dalam negara berbilang kaum ini.
“Anda berhak untuk menyuarakan pendapat anda dalam isu pembelajaran tulisan Jawi dalam sekolah kerajaan, tetapi bukan dengan cara menghina budaya, warisan, tradisi mahupun agama bangsa lain.
“‘This is way too much’! Tempelaknya sambil meninggalkan tanda pagar #AsalBukanDap #TolakPemimpinRasis. – UMNO ONLINE