Momokan PH Hutang Negara RM1 Trilion Bakal Jadi Kenyataan

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Akhirnya momokan hutang negara RM1 trilion bakal menjadi kenyataan namun bukan di bawah pimpinan kerajaan terdahulu, tetapi adalah di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad berkata hutang negara RM1 trilion yang selama ini dicanang oleh PH rupanya ada udang sebalik batu kerana mereka seperti telah merancang awal bagi menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘kambing hitam’.

“Patutlah mereka awal-awal lagi sudah sibuk canang hutang negara RM1 trilion rupanya mereka yang akan menjadikan hutang negara setinggi itu dan seperti biasa kesalahan akan diletakkan kepada BN kononnya disebabkan kerajaan terdahululah maka mereka terpaksa menambah hutang negara.

“Baru setahun mentadbir negara, PH bukan sahaja telah menambah hutang negara tapi turut menjual pelbagai aset negara namun apa yang pelik, ekonomi negara pula terus merudum juga,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Noraini, kerajaan BN meninggalkan hutang cuma RM686.8 dan rekod jelas menunjukkan kerajaan mampu membayar hutang tersebut dengan baik.

“Tapi bila PH ambil alih kepimpinan negara, semuanya jadi kucar-kacir… sudahlah ekonomi rakyat dibelenggu kemelesetan hidup, hutang kerajaan pula semakin membengkak.

“Kerajaan PH mungkin boleh mengadakan sambutan secara besar-besaran selepas ini bagi meraikan ‘kejayaan’ mereka menjadikan hutang negara genap RM1 trilion,” bidas beliau.

Untuk rekod, Menteri Kewangan semalam telah menambah hutang negara apabila membuat pinjaman terbaru berjumlah RM3 bilion yang menjadikan hutang negara kini berjumlah RM87.8 bilion (RM80.5 bilion dalam bon tempatan dan RM7.3 bilion bon samurai). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.