Hina Jalur Gemilang Tidak Boleh Dipandang Remeh

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Setiap penghinaan terhadap Jalur Gemilang atas alasan apa sekali pun tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan lambang tertinggi negara.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata, sehubungan itu, pihak berkuasa harus menyiasat kesalahan berkaitan mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan 2017).

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan seperti di bawah Seksyen 3, maka seseorang itu boleh dikenakan denda sehingga RM12,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Isu yang terjadi ini bukan isu perkauman atau agama tetapi ia menyentuh isu penghinaan kepada rakyat Malaysia iaitu kita semua,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sebelum ini, seorang ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Lee Kim Yew dikritik hebat oleh warga maya yang menyifatkan beliau sebagai biadab kerana menukar warna putih pada Jalur Gemilang kepada warna hitam.

Kim Yew bagaimanapun memohon maaf berhubung kontroversi jalur putih pada Jalur Gemilang yang ditukar warna kepada hitam sebagai tanda protes terhadap pelaksanaan pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

Sementara itu, tegas Fairuz, setiap rakyat perlu sedar bahawa setiap yang berada pada bendera Jalur Gemilang mempunyai maksud yang sangat mendalam.

“Tindakan (Kim Yew) yang dilakukan itu tidak beradab kerana menghina satu lambang yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Bahkan, Jalur Gemilang disematkan dengan semangat sayang, cinta dan hormat pada negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.