UMNO-PAS Selangor Wujudkan Enam Jawatankuasa Bagi Capai Objektif Menang PRU-15

 

SHAH ALAM, 8 Ogos – Mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Penyelarasan Perpaduan Ummah UMNO-PAS peringkat negeri Selangor memutuskan untuk mewujudkan enam jawatankuasa mengikut peringkat.

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, semua perkara yang diputuskan adalah menjurus untuk mengekalkan momentum kerjasama dan seterusnya mencapai objektif menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Antara perkara yang disentuh adalah menyelaraskan jawatankuasa sesuai dengan apa yang diputuskan di peringkat pusat. Oleh itu, UMNO dan PAS negeri Selangor bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa sekretariat penyelarasan perpaduan ummah UMNO-PAS peringkat negeri yang akan dipengerusi bersama antara kedua-dua parti.

“Selain itu, mesyuarat juga telah bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa sekreatariat di peringkat bahagian, mewujudkan biro-biro bagi melaksanakan semua yang diarahkan oleh peringkat pusat dan bersetuju untuk mewujudkan jawatankausa penerangan. Kesemua jawatankuasa yang diwujudkan ini akan dikendalikan secara bersama.

“Selain itu, jawatankuasa peringkat DUN juga akan diwujudkan, begitu juga dengan jawatankuasa kerja jentera pilihan raya,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut secara bersama.

Tambah Nadzari, UMNO dan PAS Selangor juga telah mencapai kata sepakat untuk mewujudkan satu lagi jawatankuasa iaitu jawatankuasa kebajikan yang akan memantau permasalahan rakyat.

“Di peringkat sayap UMNO dan PAS juga akan mempunyai struktur sekreatariat yang sama seperti di bahagian.

“Mesyuarat juga telah bersetuju untuk memecahkan kawasan jagaan di negeri Selangor mengikut zon. Oleh itu enam zon akan diwujudkan dengan beberapa parlimen di dalam zon tersebut. Setiap zon ini juga akan mempunyai pengerusi bersama,” jelas beliau lagi.

Nadzari juga turut menjelaskan, negeri Selangor akan mengadakan ‘roadshow’ di peringkat parlimen mengikut zon yang telah ditetapkan.

“Kemuncak ‘roadshow’ ini nanti, Presiden kedua-dua parti akan mengadakan ceramah perdana bersama,” jelas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.