Tuduhan Kerajaan Negeri Pahang Amal Sistem Kroni hanya Untuk Alih Isu Lynas

KUANTAN, 8 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang Farid Mohd Nor berkata, tuduhan yang dilemparkan kononnya Menteri Besar Pahang Datuk Wan Rosdy Wan Ismail mementingkan kroni dalam mengurus tadbir negeri adalah satu tuduhan tidak berasas.

Jelas beliau, isu yang sengaja direka ini sebenarnya hanyalah untuk mengalih isu berkaitan Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) yang gagal dijawab oleh kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Di awal pentadbiran Datuk Wan Rosdy juga, telah diuar-uarkan kononnya negeri Pahang bakal bankrap hanya dalam tempoh tiga bulan kerana negeri ini negeri pembangkang.

“Tetapi selepas lebih setahun, beliau telah berjaya membuktikan walaupun bergelar negeri pembangkang, Pahang mampu membawa pelaburan yang jauh lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan pusat sendiri.

“Sebagai bukti, baru-baru ini di Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019) yang diadakan di Singapura, Pahang telah berjaya menandatangani 11 memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan syarikat-syarikat berkaitan. Ia dijangkakan bakal menarik kira-kira RM1.134 bilion,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Farid, selain kejayaan tersebut, Pahang juga telah menubuhkan Pahang Corporation yang berfungsi antara lain mengawal selia prestasi sebahagian keuntungan S-GLC untk diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Ini baru sebahagian kejayaan yang berjaya di dilakukan oleh negeri Pahang. Jadi, jika ada pihak yang mahu merosakkan imej negeri ini, sila kemukakan bukti sahih dan bukannya hanya menuduh tanpa fakta.

“Jangan kerana ingin mengalihkan isu Lynas yang secara terang-terangan menampakkan penipuan oleh kerajaan negeri, maka mereka mahu merosakkan kredibiliti negeri Pahang,” tegas beliau.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila status yang dimuat naik di facebook milik ‘Penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia’ yang menuduh Pahang masih mengamalkan sistem kroni di bawah pentadbiran Wan Rosdy. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.