Tiada Alasan PH Tuding Jari

ALOR SETAR 8 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiada alasan untuk menyalahkan pihak lain sebaliknya digesa segera menyelesaikan isu jemaah haji rakyat Malaysia yang sedang terkandas sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Jeddah, Arab Saudi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, jika pada musim haji tahun lalu, mungkin pihak kerajaan dan menteri berkaitan mempunyai pelbagai alasan untuk mempolitikkan keadaan serta menyalahkan pihak ketiga.

Kata beliau, ini termasuk kononnya berlaku sabotaj yang melibatkan kakitangan dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dituduh saki-baki penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Namun pada musim ini, pihak kerajaan dan menteri terbabit tiada alasan lagi untuk menyalahkan mana-mana pihak ekoran boleh dikatakan hampir semua pengurusan kanan TH sekarang difahamkan adalah lantikan kerajaan PH.

“Kita sedih apabila mendapat tahu tentang jemaah haji negara kita yang begitu ramai terkandas (sama ada di KLIA atau di Jeddah) kerana masalah teknikal berkaitan visa dan pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, sebuah agensi pelancongan yang mengendalikan urusan jemaah haji di Tanah Suci, membuat laporan polis berikutan 26 orang rakyat Malaysia terkandas di Jeddah kerana dikatakan mempunyai visa haji furada (persendirian) palsu.

Pengarah Syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours, Mohamad Sazrul Iqram Rozlan berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak sejurus menerima berita tersebut.

Menurut Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah, sebelum ini, masalah-masalah yang berlaku dapat diselesaikan dengan bijaksana oleh TH dan kerajaan yang dikenali memiliki hubungan rapat dengan keluarga Diraja Arab Saudi dan kerajaan negara itu.

Dalam pada itu, Suraya berkata, beliau difahamkan seorang Timbalan Menteri PH turut berada di Makkah ketika ini dan sehubungan itu diharap pihak terlibat mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

Katanya, diharapkan tiada seorang tetamu Allah SWT pun dari negara ini yang terpaksa dihantar pulang dan tidak dapat menyempurnakan ibadah haji pada musim ini.

“Marilah seluruh umat Islam sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar masalah ini dapat dipermudah dan diselesaikan segera,” kata beliau lagi. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.