Pencemaran Pasir Gudang: Khaled Sedia Disiasat, Ingin Tahu Kilang Manakah Buat Onar

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersedia untuk disiasat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya berkaitan pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang.

Ini kerana katanya, akhirnya, beliau sendiri secara peribadi ingin tahu kilang-kilang manakah yang telah membuat onar di Pasir Gudang, siapakah pemiliknya dan siapakah yang telah meluluskan pembukaan serta operasinya.

“Ada pihak yang menuding jari dan menyalahkan saya bahawa pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang hari ini berpunca daripada saya atas alasan mereka, sebagai ADUN Permas sebelum ini, sayalah yang bertanggungjawab meluluskan pembukaan dan operasi kilang-kilang di Pasir Gudang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, rentetan daripada tuduhan sebegini, ada juga yang menggesa agar pihak berkuasa terutamanya SPRM menyiasat dan membongkar semua ini.

“Saya ingin menegaskan beberapa perkara. Pertama, kelulusan pembukaan atau operasi sesebuah kilang di Pasir Gudang bukanlah kuasa dan tugas ADUN yang terlibat. Setidak-tidaknya tidak semasa saya menjadi ADUN. Sebaliknya, kelulusan dan operasi kilang adalah di bawah bidang kuasa dan pemantauan pihak berkuasa tempatan. Dalam kes ini, Majlis Perbandaran Pasir Gudang.”

Katanya, perkara-perkara yang melibatkan lesen, pemantauan serta syarat-syarat tambahan pula, kebanyakannya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan.

“Jadi, saya bersedia, malah sangat menggalakkan jika orang ramai atau mana-mana pihak menggesa Kerajaan Negeri untuk menyemak dan mendedahkan nama-nama kilang yang terlibat dalam pencemaran ini. Daripada maklumat tersebut, kita semua akan dapat mengetahui siapakah pihak yang meluluskan pembukaan dan operasi tersebut.

Kedua, saya bersetuju untuk pihak berwajib seperti SPRM atau mana-mana agensi yang relevan membuka kertas siasatan. Siasatlah sepenuhnya siapa yang terlibat dan ambillah tindakan.

“Yang menjadi masalah dan kebingungan semua pihak sekarang adalah, sehingga kini Kerajaan Negeri sendiri yang begitu berkeras dan bersungguh-sungguh melindungi nama pesalah dan kilang-kilang yang terlibat.”

Tegas beliau, selepas dua kali insiden yang sama berulang, Kerajaan Negeri dan kementerian yang terlibat masih merahsiakan suspek dan nama kilang-kilang yang disyaki.

Ketiga, kita harus sedar, isu yang turut kritikal dalam insiden ini adalah pengurusan dan pemantauan oleh pihak-pihak berkuasa. Prosedur dan kepakaran agensi-agensi ini harus diperkemaskan. Malah, yang kita semua kesalkan sekali adalah kegagalan dan kelemahan Kerajaan Negeri dalam menguruskan insiden tersebut.

“Sekali lagi saya tegaskan yang saya bersetuju perkara ini disiasat dengan segera. Saya sendiri bersedia untuk disiasat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya, kerana akhirnya, saya sendiri secara peribadi ingin tahu kilangkilang manakah yang telah membuat onar di Pasir Gudang, siapakah pemiliknya dan siapakah yang telah meluluskan pembukaan serta operasinya,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.