Isu Lynas: PH Telan Ludah Sendiri Kerana Terbukti Menipu – Sharkar


TEMERLOH, 8 Ogos – “Pakatan Harapan (PH) akhirnya terpaksa telan ludah sendiri atas penipuan mereka dalam isu Lynas Advanced Material Plant kerana terbukti Lynas bukan satu projek bahaya sebaliknya ia hanya dipolitikkan semata-mata untuk mereka menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu,” ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin.

Jelas beliau, aktivis anti Lynas juga terpaksa putih mata kerana perjuangan mereka selama ini ternyata sia-sia.

“Bila kerajaan PH menyambung lesen operasi Lynas, ianya membuktikan bahawa Lynas memang tidak bahaya dan isu ini diputar-belitkan hanya untk menang politik.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu bukannya bodoh nak menerima pelaburan yang boleh mengancam nyawa rakyat. Masa kerajaan BN nak terima pelaburan dari Lynas, bukan setakat tempatan, antarabangsa pun sudah datang bagi penjelasan untuk membuktikan Lynas bukan sesuatu yang bahaya.

“Tapi ketika itu, pembangkang menipu jadi rakyat percaya. Benda yang menakutkan memang rakyat mudah percaya seolah-olah Bandar Kuantan ini nak dikosongkan sebab takut kena kanser… tapi sekarang mereka memerintah, mereka tidak boleh menukar fakta. Akhirnya bila mereka cuba putar-belit keadaan, mereka terperangkap dan terpaksa menelan ludah sendiri,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar, BN sebenarnya sedikit pun tidak terkejut apabila kerajaan PH menyambung lesen operasi Lynas kerana BN mengetahui hakikat sebenar berkaitan operasi syarikat tersebut.

“Saya dulu terlibat secara langsung sebab saya Pengerusi Sains, Teknologi dan Inovasi. Jadi saya sentiasa memantau dari semasa ke semasa.

“Kalau saya jadi Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan), saya akan letak jawatan,” tegas beliau.

Namun jelas Sharkar, secara tidak langsung beliau mahu berterima kasih kepada kerajaan pusat terutamanya Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana memberikan jawapan sebenar yang selama ini menjadi tanda tanya dan yang dipolemikkan kepada rakyat.

“Ternyata rakyat khususnya di Kuantan telah ditipu hidup-hidup. Sekarang siapa yang hendak jawab… BN berada di pihak benar,” sindir beliau lagi. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.