Piagam UMNO-PAS Mantapkan Kerjasama, Gerak Kerja Akan Lebih Tersusun

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata Piagam kerjasama UMNO dan PAS yang akan ditandatangani secara rasmi pada 14 September depan akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua parti berkenaan.

Malah pada masa yang sama beliau turut percaya piagam tersebut tidak akan meminggirkan kemajmukan bangsa yang terdapat dalam negara ini sekaligus akan memperkemaskan lagi hala tuju antara UMNO dan PAS serta rakan pembangkang lain.

“Piagam tersebut akan menjadi rujukan untuk kita melaksanakan segala gerak kerja ke arah yang lebih tersusun, menyatupadukan semua masyarakat Malaysia yang majmuk.

“Adalah diharapkan juga piagam kerjasama UMNO dan PAS ini akan mengambil contoh Piagam Madinah, dimana piagam tersebut bukan sahaja menjaga umat Islam, bahkan bukan Islam juga akan terbela,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Mustafa yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar seterusnya menambah Pakatan Harapan (PH) dilihat berdepan dengan pelbagai kemelut yang menjerat diri mereka sendiri.

“Kerajaan PH kini terbelit dengan bermacam-macam masalah survival politik. Gara-gara itulah mereka terpaksa memesongkan perhatian rakyat dengan menyalahkan kerajaan terdahulu dan kini PH di ambang yang cukup getir berikutan ketidakupayaan mentadbir negara.

“Sehubungan itu  piagam ini akan menjadikan gerak kerja barisan pembangkang yang lebih tersusun dan formal menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 nanti,” ujarnya.

Piagam UMNO dan PAS akan dimeterai pada 14 Sept ini dan ia akan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.