PH Zalim… Kembalikan Bantuan Tanaman Semula Kepada Pekebun Kecil

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak supaya mengembalikan semula skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil agar nasib golongan berkenaa dapat dibela.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata pengumuman Menteri Industri Utama, Teresa Kok bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim tersebut adalah perkara yang dianggap zalim dan tidak adil.

Menurut beliau Industri sawit telah dikenal pasti sebagai salah satu Bidang Utama Ekonomi Baru (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan negara menjelang tahun 2020.

“Pekebun kecil merupakan penduduk luar bandar yang wajar dibantu secara berterusan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

“Semasa era kerajaan Barisan Nasional (BN), pada tahun 2018, kerajaan telah memperuntukkan RM140 juta untuk pembangunan dan penanaman semua kelapa sawit dan RM200 juta untuk getah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Katanya lagi sektor pertanian adalah sumber ketiga pertumbuhan untuk ekonomi dan di bawah dasar kerajaan BN, industri sawit dijangka melonjak dari RM53 bilion pada 2009 ke RM178 bilion menjelang 2020.

Tambahnya kerajaan PH dilihat semakin meminggirkan kebajikan golongan pekebun kecil dan harga sawit sebagai komoditi utama Malaysia semakin hari semakin susut serta tiada usaha kerajaan untuk menstabilkannya semula.

“Pekebun kecil kini terpaksa membuat pinjaman kepada kerajaan untuk menanam semula melalui Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS).

“Kini, bantuan tanaman semula pula dihapuskan. Nasib rakyat khasnya pekebun kecil dan penduduk luar bandar semakin hari semakin tidak terbela di bawah pemerintahan kerajaan PH ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.