Pembatalan Bantuan Pekebun Kecil… Kerajaan PH Dera Rakyat Marhain

ALOR SETAR, 7 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pengumuman Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim untuk menamatkan bantuan khas pekebun kecil adalah satu penderaan kepada masyarakat luar bandar.

Jelas beliau, pengumuman tersebut juga disambut dengan penuh kesedihan kerana ia menambahkan lagi penderitaan pekebun kecil sawit di seluruh negara.

“Sudahlah tertekan dengan harga sawit yang terus menurun berada di paras rendah disamping kos sara hidup yang terus meningkat, tiba tiba mereka dikejutkan pula dengan penarikan bantuan tanaman semula pekebun kecil yang telah diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu.

“BN pada tahun 2018 telah memperuntukkan RM140 juta untuk pekebun kecil sawit dan RM 200 juta untuk pekebun kecil getah. Semangat atau roh bantuan ini diperkenalkan oleh BN adalah bagi membantu golongan berpendapatan kecil yang semata-mata bergantung mata pencariannya pada tanaman sawit yang berskala kecil. Usaha ini dibuat tanpa mengira kaum, asalkan mereka adalah pekebun kecil.

“Kini, bantuan yang amat diperlukan oleh pekebun kecil telah diragut oleh kerajaan PH yang kononnya memahami denyut nadi rakyat. Kini di bawah PH, rakyat semakin terhimpit,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Jamil Khir, kerajaan seharusnya perlu memahami bahawa bantuan ini diberi untuk tempoh pokok sawit yang sudah menjangkau tua dan ia mengambil tempoh puluhan tahun.

“Ertinya bantuan ini bukan bersifat tahunan dan bantuan ini juga sebagai menghargai keringat dan sumbangan pekebun kecil kepada ekonomi negara disamping mengekalkan Malaysia sebagai salah sebuah pembekal sawit dunia.

“Justeru, blok pembangkang menggesa kerajaan membatalkan keputusan ini serta mengembalikan bantuan kepada pekebun kecil sawit yang telah sedia tertekan akibat harga barang yang meningkat dan harga sawit yang rendah,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.