Menteri PH Suka Guna Alasan Tak Masuk Akal… Peneroka Felda Juga Pekebun Kecil – Khusairi

TANJUNG MALIM, 7 Ogos – Alasan Menteri Industri Utama, Teresa Kok bahawa pemansuhan bantuan tanam semula sawit kepada pekebun-pekebun kecil adalah untuk berlaku adil kepada pekebun tersusun seperti Felda dan Felcra adalah satu kenyataan tak masuk akal, bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Justeru Khusairi mengingatkan Ahli Parlimen Seputeh dari Dap itu bahawa semasa Sambutan Hari Peneroka Felda pada 2017 di Putrajaya, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan skim bantuan tanam semula daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan turut melibatkan peneroka-peneroka Felda kerana mereka juga pekebun kecil.

“Pada 2018, sejumlah RM63 juta diperuntukkan oleh MPOB kepada Felda untuk tujuan itu, buat pertama kali dalam sejarah.

“Sebelum ini kos tanam semula peneroka Felda adalah melalui skim pinjaman disediakan oleh Felda yang telah membebankan peneroka dengan hutang.

“Daripada RM63 juta, sebanyak RM30 juta sempat dibelanjakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Selepas PRU bantuan itu terus lesap,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu dalam satu hantaran di Facebook.

BN katanya, sudah mempunyai perancangan yang tersusun untuk menjaga kebajikan pekebun-pekebun kecil termasuk peneroka Felda dan Felcra tetapi ianya dimusnahkan oleh PH.

“Jika BN menang PRU-14 lalu dan terus menguasai Putrajaya, bukan sahaja skim bantuan tanam semula kepada pekebun-pekebun kecil dilaksanakan seperti biasa, malah skim itu akan juga dinikmati oleh peneroka Felda.

“Jadi keadilan apa terhadap pekebun tersusun Felda seperti dimaksudkan oleh Teresa PH-Dap ni? Soalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.