Rakyat Kecewa… Kerajaan Negeri Selangor Sekarang Caca Marba – Rosni


KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ketua Wanita UMNO Hulu Selangor, Datuk Rosni Sohar membidas Kerajaan Negeri Selangor yang hari ini penuh dengan caca marba selain pelbagai janji-janji dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) hanya sekadar janji manis untuk dijadikan gula-gula rakyat.

Ujar beliau, dasar-dasar insentif bantuan rakyat negeri Selangor yang diperkenalkan oleh Pakatan Harapan (PH) pun akhirnya memakan dirinya sendiri apabila gagal berlangsung lancar malah mengecewakan rakyat.

“Ini jelas membuktikan kelemahan kerajaan Selangor mentadbir sedangkan rakyat tahu menilai tapi kerja-kerja PH yang dibuat ini tidak menjadi, macam-macam perkara lain yang berlaku,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Rosni yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO, rakyat Selangor semakin sedar dan bijak menilai apabila telah tertipu dengan janji manis khususnya berkaitan bantuan insentif kepada rakyat yang akhirnya gagal ditunaikan.

“Segala perbelanjaan dan program bermanfaat banyak yang cicir misalnya untuk program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sudah menurun dari 40 ribu penerima kepada hanya 20 ribu saja, kononnya tidak ada ketelitiaan mereka pada peringkat awal (tangkap muat) saja, tetapi ini perkara benar.

“Begitu juga dengan khairat kematian sebanyak RM2,500 sudah tidak ada lagi, program Peduli Sihat Selangor penerimanya dah dikurangkan dan banyak lagi program-program yang dijanji awal semasa PRU lalu, akhirnya bila menang tak ada….”

Untuk rekod, terdapat 26 insentif Kerajaan yang dilaksanakan untuk membantu rakyat melibatkan semua aspek termasuklah bantuan pendidikan tinggi, pemberian air percuma, kelas tambahan percuma dan lain-lain lagi namun pelaksanaannya ternyata mengecewakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.