Piagam Kerjasama UMNO-PAS Berpaksikan Kepentingan Semua Pihak – Azhari


KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Piagam kerjasama UMNO dan PAS yang akan ditandatangani secara rasmi pada 14 September depan tidak seharusnya menimbulkan pelbagai kekhuatiran kepada masyarakat bukan Melayu mahu pun Islam kerana kerjasama tersebut berpaksikan kepada usaha yang menyeluruh untuk semua pihak.

Justeru bagi Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, ianya adalah satu landasan terbaik kepada seluruh rakyat kerana menerusi piagam berkenaan, kerjasama PAS dan UMNO itu sendiri tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum mahupun agama.

Menurut beliau sudah pasti akan timbul pelbagai polemik yang akan digembar-gemburkan oleh pelbagai pihak nanti mengenai kerjasama berkenaan dalam usaha melihat perkara tersebut bukan sahaja tidak berhasil malah terus-menerus menimbulkan kebimbangan.

“Apa yang pasti penyatuan ummah ini adalah untuk kepentingan semua rakyat. Sepertimana yang ditekankan sebelum ini, ianya adalah untuk kita bersama. Tidak sama sekali menekan mahupun pinggirkan mana-mana pihak lain sekali pun.

“Insya-Allah jika ini berjaya dirintis, saya penuh yakin dengan pengalaman yang ada sebelum ini menerusi Barisan Nasional (BN), manfaat dan faedah untuk rakyat keseluruhan akan terserlah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Hari ini kata beliau lagi rakyat telah mula dapat membuat perbandingan dan boleh melihat secara mendalam bagaimana kerajaan yang ada dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Insya-Allah dengan kerjasama daripada semua pihak termasuklah rakan Ta’awun PAS, MCA, MIC, Sabah, Sarawak dan sebagainya hasilnya nanti akan kita nikmati bersama. Apa yang dibakal dilaksanakan adalah untuk rakyat menyeluruh dan untuk kepentingan negara bersama,” tambahnya.

Kedua-dua parti iaitu UMNO dan PAS telah memuktamadkan dan akan memetraikan satu piagam bersama dan satu memorandum persefahaman yang telah siap digubal oleh jawatankuasa bersama yang diwujudkan sebelum ini.

Kedua-dua parti telah bersetuju untuk mengadakan satu Majlis Menandatangani Piagam pada 14 September depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Piagam ini akan ditandatangani sendiri oleh presiden kedua-dua parti dan majlis bersejarah ini akan dihadiri oleh semua pemimpin UMNO dan PAS dari seluruh negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.