UMNO-PAS Bukan Sandiwara Politik… Ini Betul-betul – Saarani


BAGAN DATUK, 5 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, persahabatan dan ikatan kasih sayang antara UMNO dan PAS bukanlah satu sandiwara politik.

Justeru beliau berharap tidak akan ada mana-mana pihak yang mempertikaikan kerjasama antara kedua-dua parti itu.

“Ini bukan cubaan… ini betul-betul… ini bukan persahabatan sementara. Tidak….

“Sebab itu UMNO Perak berjanji, apa pun yang berlaku selepas ini, UMNO dan PAS tidak akan sama sekali berpatah balik seperti dahulu. Kita nak buktikan bahawa persahabatan ini adalah ikhlas dan muafakat ini bukan hanya demi kepentingan Islam tetapi juga demi rakan-rakan Cina, India, Orang Asli, Murut dan lain-lain,” ujar beliau ketika berucap di mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk semalam.

Saarani turut melahirkan keyakinan bahawa gabungan UMNO dan PAS mampu merampas kembali negeri Perak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Sama ada melalui Pilihan Raya Negeri atau PRU-15, kita pasti akan kembali menerajui Perak. Mengambil kira kerusi yang dimenangi pada PRU-14, 27 kerusi dimenangi UMNO, tiga kerusi dimenangi oleh PAS kalau kekal itu sahaja pun sudah cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

“Kalau UMNO dan PAS terus bersepakat… UMNO tidak akan bertanding di kerusi PAS dan PAS tidak meletakkan calon di kerusi UMNO dan penyokong PAS mengundi calon UMNO begitu juga sebaliknya maka tidak mustahil kita boleh ambil balik negeri Perak.

“Malah kita boleh ambil 10 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak jika cara ini dikekalkan dengan syarat 27 kerusi UMNO dan tiga kerusi PAS kekal kita menang,” jelas beliau.

10 kerusi DUN tersebut adalah Titi Serong, Kuala Kurau, Kamunting, Hulu Kinta, Manjoi, Behrang, Chenderiang, Sungai Rapat, Pasir Panjang dan Tebing Tinggi. – UMNO-Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.