Tulisan Khat: Kerajaan PH Jangan Tunduk Desakan Golongan Tertentu Dan Dap – Mahdzir


KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tindak perlu tunduk kepada desakan-desakan pihak tertentu yang menentang tindakan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dan Jawi dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular bermula tahun hadapan.

“Malah pihak kerajaan PH dan dalam gabungan parti-parti sesama PH sewajarnya memberi penerangan dan penjelasan lebih lanjut kepada mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Kumpulan pendesak tersebut terdiri daripada sekumpulan ahli politik Dap, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Hari ini, kumpulan pendesak tersebut tetap dengan pendirian mereka menentang walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu lalu bertegas kerajaan tetap tekad meneruskan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat mulai 2020 meskipun mendapat tentangan daripada kumpulan tersebut.

Pada sesi dialog Majlis Townhall Semarak Merdeka di Bandar Hilir, Melaka itu, Tun Mahathir juga menegur tidak wajar mana-mana pihak mempersoal pengenalan tulisan khat kerana kerajaan tidak pernah membantah penggunaan tulisan dalam bahasa lain atas kepercayaan dasar kemakmuran bersama.

Malah, Tun Mahathir berkata tulisan dalam bahasa lain seperti bahasa Cina tidak dibenarkan di beberapa negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Thailand di mana rakyat negara itu hanya dibenarkan menggunakan bahasa ibunda mereka. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.