Kehendak Rakyat Banyak Diganggu Di Zaman Kerajaan PH Memerintah – Annuar Musa


SANDAKAN, 5 Ogos- Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kehendak rakyat banyak diganggu pada zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah, berbanding pada zaman Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

Beliau berkata, dalam mana-mana sistem demokrasi pilihan raya, rakyat adalah pemenang kerana mereka sudah memilih kerajaan yang mereka rasakan akan menunaikan kehendak mereka, tetapi hakikatnya ia berlaku sebaliknya sekarang.

Sebagai contoh jelas beliau dalam zaman kerajaan PH yang baru setahun memerintah, selain janji manifesto yang tidak ditunai, ada pula gangguan ke atas kehendak rakyat yang mahu belajar tulisan khat Jawi di sekolah.

Keadaan ini tambah beliau lagi sangat berbeza dalam zaman kerajaan BN, di mana tidak ada gangguan terhadap kaum lain yang ingin belajar Bahasa Mandarin atau Tamil, malah jika hendak membuka sekolah Cina atau Tamil pun dibenarkan.

“Di Selangor, tulisan Jawi tidak disokong tetapi tulisan kaum lain pula dibolehkan ditulis di papan tanda jalan, sehingga Sultan Selangor terpaksa campur tangan, mengarahkan tulisan Cina dipadamkan dan papan tanda itu ditulis hanya dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beluran di sini, Ahad.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Jefri Ariffin dan Ketua-ketua bahagian dari Zon 5 Sabah.

Tan Sri Annuar meminta pihak pihak tertentu jangan cuba menganggu perkara-perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama Islam, disebabkan tulisan Jawi ada kaitannya dengan agama dan pembelajaran Al Quran.

Katanya, memandangkan pelbagai tekanan yang berlaku, adalah wajar masyarakat Melayu Bumiputera mengumpulkan semula kekuatan kuasa bagi memantapkan perpaduan.

Jelas beliau lagi dalam ketika UMNO menjadi pembangkang, ahli-ahli parti wajar bersabar, istiqamah kepada prinsip perjuangan serta sentiasa mengutamakan penyatuan fikiran serta tindakan kerana ia prasyarat penting bagi merampas semula Putrajaya.

“Jika kita menyertai perjuangan UMNO kerana yakin dengan roh perjuangan dan sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah anugerahkan kepada kita, Insya-Allah Allah akan tambah nikmat ganjaran, termasuk kembali memerintah,” ujarnya.

Sehubungan itu, tegas beliau, sangat penting untuk pemimpin UMNO di pelbagai peringkat merakyatkan program-program supaya ia dapat menyentuh hati setiap kumpulan sasar akar umbi, termasuk bukan ahli UMNO.

Tan Sri Annuar juga meminta rakyat Sabah memberi sokongan kepada ta’awun UMNO dan PAS disebabkan ia adalah langkah pertama ke arah penyatuan dan kerjasama politik lebih besar antara parti parti politik di negara ini, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau ta’awun UMNO dan PAS, yang piagamnya akan ditandatangani pada 14 September ini, adalah kerjasama bersejarah kerana dua parti paling lama di negara ini, yang dahulunya tidak boleh duduk bersama, kini sudah boleh duduk semeja membincangkan penyatuan ummah.

“Tidak mustahil jika ta’awun ini boleh diperluaskan juga dengan parti-parti lebih kecil lain bagi membentuk jaringan gabungan lebih besar dalam politik Malaysia”, katanya. –UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.