UMNO Perlu Ambil Tindakan Tegas Pemimpin, Ahli Tak Sehaluan Dengan Parti – Ku Li


BAGAN DATUK, 4 Ogos – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, UMNO perlu mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin dan ahli yang tidak lagi sehaluan dengan parti.

Ujar beliau, mereka ini perlu ‘dipencen’kan dari parti kerana UMNO tidak memerlukan ‘barua’ dalam parti keramat ini.

“Orang yang tidak boleh berkhidmat kepada parti, pencenkan dia. Kita tak mahu ada duri dalam daging dan barua dalam parti kerana PAS sekarang bersama dengan kita, jadi kita haruslah memberi gambaran yang baik.

“Kita kena kukuhkan kedudukan kita, kuat dan bersatu bersama-sama rakan komponen serta rakan baru kita PAS,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun, di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh turut berharap agar ahli dan pemimpin UMNO tidak menjadi tali barut kepada musuh sehingga sanggup diperalatkan.

“Jangan jadi tali barut orang lain, jangan jadi terlampau bodoh biar orang peralatkan kita. Jangan biar orang terus mencemuh kita hanya disebabkan nak jaga jawatan.

“Kita ada maruah, maruah kita amat bernilai.

“Tun (Mahathir) ajak kita masuk Bersatu (PPBM), kita memang sudah ‘bersatu’… yang tidak bersatu dia sebab dia lari… Dulu dia cakap saya ini makhluk perosak, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Musa Hitam mahkluk perosak… sebenarnya dia takut,” ujar beliau lagi.

Beliau turut membidas kepimpinan PH yang gagal dalam mentadbir negara ini dan kerana itulah rakyat mula menolak mereka. – MediaUMNO