Perkukuh UMNO, Mantapkan Permuafakatan Untuk Pertahan Agama, Bangsa, Negara – Tengku Adnan


KUALA LUMPUR, 4 Ogos – UMNO perlu diperkukuh dan diperkuat sebagai landasan perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara, kata Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, baru masuk 15 bulan pentadbiran kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) namun pelbagai perkara telah berlaku khususnya menggangu gugat keharmonian masyarakat.

“Kita perlu bangkit pertahankan agama, bangsa dan negara kita dengan perkara utama ialah bersatu dan bermuafakat dalam satu landasan untuk masa hadapan kita dan anak cucu kita,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian dalam Majlis Perasmian UMNO bahagian tersebut yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut melahirkan penghargaan kepada ahli-ahli UMNO kerana dapat melaksanakan tanggungjawab kepada parti walaupun dalam keadaan yang penuh kesukaran.

“Syabas dan tahniah kepada ahli-ahli di akar umbi yang masih gigih untuk kekal dalam parti, dapat laksanakan mesyuarat peringkat Cawangan sebelum ini dengan lancar walaupun hari ini banyak sekatan dan tekanan kepada kita.”

Tegas beliau, UMNO terlalu banyak jasa sepanjang penubuhannya bukan kepada ahli-ahli sahaja tetapi juga kepada semua rakyat Malaysia sejak sekian lama.

“Kita perlu faham dan hayati asas tujuan UMNO malah jika kita mahu berpaling pun cari dulu asas dan tujuan apa-apa parti lain yang ada di negara kita… kenapa ditubuhkan….,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.