Penyatuan UMNO-PAS Tidak Akan Pinggir Rakan Komponen BN – Ahmad Zahid


BAGAN DATUK, 4 Ogos – Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, piagam UMNO-PAS yang bakal ditandatangani pada 14 September ini bukan bererti UMNO akan meninggalkan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, penyatuan ummah ini akan memperjuangkan agama Islam tanpa sedikit pun meminggirkan bangsa lain.

“Komitmen kita pada piagam UMNO dan PAS akan diterjemahkan pelaksanaannya di peringkat nasional, negeri, bahagian dan akar umbi. Untuk itu, UMNO Malaysia telah mengarahkan selain daripada jawatankuasa induk dan teknikal di peringkat badan perhubungan UMNO negeri, di peringkat bahagian jawatankuasa perlaksanaan juga telah ditubuhkan.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua ketua cawangan, ketua bahagian UMNO dan PAS, Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO dan PAS di seluruh negara… saya amat menyanjung tinggi komitmen akar umbi hingga peringkat nasional sehinggakan program penyatuan ummah ini berjalan dengan begitu baik.

“Saya juga ingin nyatakan di sini, penyatuan UMNO dan PAS ini tidak akan sama sekali meninggalkan komponen BN, rakan mesra BN serta semua parti yang mesra BN di Sabah dan Sarawak,” ujar beliau ketika berucap dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Mengulas berkaitan kebencian rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) kini jelas Zahid, kebencian itu bukanlah dihasut oleh BN tetapi ia datang dari fitnah yang mereka lakukan sendiri dengan janji yang tidak pernah ditunaikan.

“Sekarang terimalah balasan Allah… Bila diberi kuasa sama ada di Dewan Rakyat, cara mereka menjawab soalan… minda mereka masih seperti pembangkang, cara mentadbir masih seperti pembangkang.

“Sebagai rakyat Malaysia kita berasa malu tapi terpaksa menerima… sayangnya selepas lebih setahun mereka masih belum berubah bermentalitikan pembangkang.

“Kerana itu rakyat melihat yang boleh mengambil alih dan menjadi kerajaan baru pada masa akan datang adalah UMNO dan PAS,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.