Orang Kata UMNO Akan Lumpuh, Lemah… Tapi UMNO Masih Berakar Umbi, Mustahil Mati – Ku Li

BAGAN DATUK 4 Ogos – “Orang kata kita (UMNO) akan lumpuh, kita lemah tapi dari apa yang saya lihat, UMNO masih berakar umbi, masih kuat, masih gagah… mustahil UMNO mati, mustahil UMNO hancur,” ujar Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Jelas beliau, sekiranya kesungguhan dan semangat membara yang ada sekarang ini terus ditunjukkan maka tidak mustahil UMNO akan terus utuh dan kembali menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kita sudah berjalan jauh… kita bersyukur diberi kesempatan untuk buat pelbagai kemajuan. Kita dapat beri pelajaran kepada rakyat. Dulu ramai buta huruf tapi sekarang dia (rakyat) soal kita balik sebab sudah pandai.

“Tidakkah itu semua kejayaan kita dengan izin Allah? Kita berjaya menolak komunis yang tidak bertuhan untuk memberi keamanan kepada rakyat kita.

“Kita berjaya majukan negara, modenkan pertanian, tambah peluang pekerjaan. Tidak seperti kerajaan sekarang, ratusan ribu tidak ada kerja. Janji Pakatan Harapan (PH) hanya tinggal janji tidak dapat ditunaikan,” tambah beliau.

Tengku Razaleigh berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun, di sini, hari ini.

Ujar beliau lagi, antara janji yang tidak tertunai adalah masalah PTPTN dan kini ia semakin menghimpit rakyat kerana kerajaan menekan para peminjam untuk melangsaikan hutang tersebut.

“Sekiranya UMNO kembali mendapat mandat mentadbir negara, insya-Allah kita boleh selesaikan masalah PTPTN yang membebankan rakyat, kita boleh selesaikan dengan keaedah yang mudah dengan menguntungkan negara dan juga rakyat,” katanya.

Beliau turut membidas individu-individu yang semakin berani memperkecil dan mempersoal perlembagaan negara.

“Selama ini kita junjung perlembagaan negara dan mempertahankannya. Orang sekarang memperkecilkan kejayaan kita yang selama 60 tahun mempertahan perkara ini tetapi mereka menikmati apa yang telah kita lakukan dulu.

“Kita telah membuktikan keupayaan dan kemampuan kita. Saya percaya kalau kita diberi mandat sekali lagi kita akan memberi yang terbaik selepas kita kalah teruk pada PRU-14 dan kita juga jamin akan menyokong keluhuran perlembagaan mengikut ‘rule of law’ dan menjamin agar negara berada dalam keadaan harmoni dan aman.

“Kita juga berjanji akan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Kita berjanji supaya rakyat tidak bimbang tentang masa depan,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.