Penentang Tulisan Jawi Buta Sejarah – Ahmad Zahid

SABAK BERNAM 3 Ogos – Pihak yang menentang tulisan Jawi adalah golongan buta sejarah dan sikap membisu pemimpin Melayu Pakatan Harapan (PH) dalam isu tersebut pula membuktikan mereka ‘menikus’ serta tidak berani untuk tampil berdepan dengan DAP.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada mana-mana pemimpin Melayu PH berani menyanggah tindak-tanduk DAP yang bersekongkol dengan kumpulan pendesak Cina, Dong Zong dan Jiao Zong, sekalipun jawi adalah melambangkan Melayu.

“Mereka (pemimpin Melayu PH) mesti berani menyatakan pendirian sebagaimana beraninya UMNO mempertahankan isu ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Sungai Besar di Dewan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.

Seramai 138 pemimpin akar umbi DAP termasuk 13 Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) parti itu bersama Dong Zong dan Jiao Zong tampil membantah rancangan pelaksanaan seni khat dan tulisan Jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat sejak minggu lalu.

Tindakan berkenaan yang dianggap biadab menimbulkan kegelisahan dalam kalangan orang Melayu tetapi sehingga kini yang bersuara bagi mempertahankan perkara itu hanyalah pemimpin pembangkang dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, manakala pemimpin PH membisu.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, UMNO menyokong penuh usaha memartabatkan semula tulisan Jawi untuk dijadikan sebagai salah satu elemen dalam pendidikan dan pengajaran bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu itu bermula dengan tulisan Jawi, di dalam banyak terbitan sejarah dan kesusasteraan Melayu lama, tulisan Melayu itu berdasarkan kepada tulisan jawi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.